Saturday, 16 November 2013

Rendang Pedas Pucuk Ubi

Salam untuk semua...

Kali ni memaksa diri untuk update blog...haha. Tak mau layan penyakit M tuh... Walau pun maid dah balik negeri, masih berazam kuat untuk memasak dan amik gambar dan muncul la entry baru...hehe. Ada pulak berita yang menjijikkan pasal restoran yg didakwa menggunakan n**** manusia sebagai pelaris. Astaghfirullah...teruknya. Takde pengesahan tentang benda ni, tapi bila dah dengar berita macam ni, alangkah baiknya kalau kita berpeluang untuk masak sendiri. Kita tahu la apa kandungan dalam masakan tu sebab kita sendiri yang masak. Kalau makan kat luar, nasib tak baik, tertelan juga la pelaris yg entah apa-apa tu...Na'uzubillah...semoga Allah menjauhkan kita daripada makanan yg rupanya seperti ini. Jangan lupa baca bismillah dan berdoa semoga makanan yg  akan menjadi darah daging kita tu halal dan bersih.

Bila cakap pasal masak sendiri, ni ada satu cerita tentang lauk untuk orang yg malas masak banyak-banyak....hehe. Dalam masakan ni dah ada sayur dan ikan....sedap makan ngan nasi panas-panas. Resepi ni amik daripada majalah Rasa. Segala bahan-bahan saya modified sikit. Tapi kalau ada yg nak mencuba, ikut la selera masing-masing ye.
  




Rendang Pedas Pucuk Ubi (majalah Rasa)

Bahan-bahan:
500g pucuk ubi
500g santan
100g ikan bilis
2 batang serai - dititik
100g kelapa parut goreng - tumbuk kasar
Garam secukupnya

Bahan kisar:
5 biji cili padi
Sedikit kunyit hidup
1/2 camca teh serbuk lada hitam

 Cara membuatnya:
1. Masukkan bahan kisar ke dalam periuk bersama santan, ikan bilis dan serai.
2. Didihkan campuran tadi, kemudian masukkan pucuk ubi. Kacau rata dan biarkan kering.
3. Masukkan kelapa tumbuk dan perasakan dengan garam.
4. Biarkan masak hingga kering dengan api perlahan.
5. Angkat dan hidangkan.

Sampai di sini dulu ye. Dah ngantuk... Salam ceria untuk semua.....






Wednesday, 6 November 2013

Tahun Baru Hijrah 1435

Salam untuk semua....

Selamat menyambut tahun baru hijrah saya ucapkan untuk semua pengunjung blog nih...Apa azam baru untuk tahun baru nih? Nak lebih rajin bekerja, nak buat banyak kerja amal, nak jadi orang yang lebih baik daripada tahun sebelumnya? Mesti ramai yang dah berazam nak buat macam-macam... Saya pulak berazam untuk selalu mengupdate blog nih... Dah lama mengeram...hehe... Biasa la...mood tidak kesampaian...penyakit M tu pun boleh tahan besar jugak...hehe.

Selalu bila ada entri baru, mesti ada resepi. Tapi kali ni, kita nak bercucuk tanam pulak. Nak cerita pasal ulam kegemaran ulun, daun selom. Orang banjar panggil daun silom.

Daun selom mengandungi protein, kalsium, vitamin A, B dan C....wah...bagus kan...tak sia-sia ulun jadi penggemar ulam nih... Boleh dibuat ulam, cicah sambal belacan, sambal kelapa, cencaluk atau budu. Boleh juga dibuat kerabu atau urap, sayur untuk laksa, nasi ulam atau nasi kerabu.

Kalau kat kampung, daun selom ni tumbuh melata di tepi telaga atau tanah lembab dekat dengan sawah. Itu kalau kat kampung la... Kalau sudah menjadi orang-orang urban...(hehe)...boleh tanam daun nih kat dalam pasu. Daun selom ni senang sangat tumbuh kalau ditanam di dalam pasu yang bertanah lembab. Paling mudah, gunakan periuk tanah. Periuk tanah ni takde lubang, jadi air terkumpul kat dalam periuk setiap kali disiram. Jadi, tanahnya sentiasa lembab.

Pastikan air tidak terlalu banyak bertakung. Nanti daun selom akan menjadi keras. Nyamuk pun suka sangat beranak-pinak kat situ.Yang penting, tanahnya mesti lembab. Kalau dah tanam daun selom kat rumah tu, boleh la buat macam-macam. Kata orang, ulam-ulaman ni petua untuk awet muda...hehe.

Sampai jumpa lagi. Selamat bercucuk tanam...:-)
  








Monday, 12 August 2013

Raya oh raya...

Salam Aidilfitri...
Selamat bertemu kembali. Sekarang ni mesti ramai yg masih dalam mood raya walau pun dah mula masuk kerja. Kat ofis tu mesti berlambak-lambak orang bawa kuih raya...ada yg terlebih rajin tu bawa lemang & ketupat juga....hehe... Saja lah kan...nak jamu member-member ofis, sedekah namanya tu.
Mesti ramai warga kota dah mula bekerja dan ada juga dengan semangatnya duduk diam-diam kat kampung sebab anak cuti sekolah....hehe.

Dalam entry kali ni, nak share dengan u all pengalaman sebelum dan selepas raya di kuala kurau, tempat kelahiran saya. Kita tengok je lah ye cerita kat bawah ni...

Tapai oh tapai

Inilah dia tapai umak (my mum) yg sangat popular masa musim raya macam ni. Ada brand tau....Tapai Mak Wan...hehe. Selalunya umak guna daun pisang...tapi tahun ni dah berubah mood....guna bekas plastik yg kecik ni je. Don't worry...rasa tak terjejas. Masih macam Tapai Mak Wan macam tahun-tahun sebelumnya...hehe. Banyak tempahan yg umak dapat tahun ni. Berkilo-kilo beras pulut digunakan, tambah dengan ragi untuk penapaian. Yang selalu jadi mangsa untuk tolong umak ialah Abah dan adikku Achik Nip. Yang lain-lain tu...selamat....hehe. Ada juga sorang sepupu ni sanggup belikan beras pulut dan bekas plastik tu sebab katanya anak dia suka sangat makan tapai nih. Bapaknya tak suka ke??? Hehe... Jangan marah ye, Joe.

Tapai umak yg marvellous....
Tapai Mak Wan warnanya hijau. Ni la namanya tapai orang banjar. Warna hijau tu sebenarnya jus yg di ekstrak (hehe...) daripada daun asin-asin atau daun pucuk manis. Banjar style la macam tu. Pastu tu kalau nak buat ni kan, banyak pantang larangnya.... Antaranya tak dibenarkan bercakap banyak masa buat tapai, takut nanti tapai jadi masam. Perempuan yg dalam period dilarang untuk buat tapai, takut tapai jadi kemerah-merahan...hehe. Itu je pantang larang yg saya ingat...leceh juga nak buat tapai nih. Alhamdulillah, umak yg mempunyai pengalaman bertahun-tahun di dalam membuat tapai, berjaya menghasilkan tapai yg manis. Saya takde resepi tapai nih dan kalau nak minta resepi kat Mak Wan pun belum tentu jadi sebab Mak Wan takde ratio dalam membuat tapai ni, dia agak-agak je...huhu....

Pra Raya

Beberapa hari sebelum raya tu, saya dengan bersemangatnya pegi ke pekan/pasar Batu 5 dekat Kuala Kurau. Kebanyakan orang di sini orang Banjar. Misi terbesar ialah mencari kuih kegemaran, Kuih Makmur orang Banjar. Kuih makmur ni berinti kurma. Yang kita selalu makan tu berinti kacang. Tapi nampaknya, tahun ni kurang bernasib baik sebab kuih makmur tu dah sold out....huhu. InsyaAllah, lain kali boleh cari lagi.


Kuih kalakatar ada dijual di bahagian hadapan pasar basah Batu 5. Juadah untuk berbuka puasa yg sangat digemari. Tapi biasa la, kalau orang nak jual, tepungnya letak lebih. Kalau nak lebih rasa kelapa muda, jom cuba resepi kalakatar nih....


Ni pulak kek lapis orang Banjar Parit Abas. Ni pun antara yang feberet untuk musim perayaan nih. Ni pun umak dapat sebab tuan kek kata ada lebih. Tak menang tangan, kata tuan kek. Tak berani la nak bagi no tepon makcik yg buat kek ni...nanti habis blog ni kena bom ngan makcik tu!!!


Best betul kek makcik nih. Tekstur kek cukup lembut, ada pula lapisan jem nanas tu, sedapnya...masih terasa-rasa kesedapannya.... Tak heran la makcik ni tak menang tangan memenuhi tempahan. Takpe makcik, saya boleh tolong...tolong makan....hehe. Rasa macam nak serbu je rumah makcik ni, minta resepi. Kalau nak bubuh resepi dalam blog nih, resepi tu akan jadi resepi berbayar....hehe....


Jalan-jalan Raya

Alhamdulillah, tahun ni berpeluang berjalan-jalan ke Seberang Perai & Pulau Pinang. Sempat juga beraya di rumah Makcik Ani di Bagan Serai, menjenguk Makteh & keluarga di Sitiawan, dan terima kasih juga untuk Makcik Ita yg sudi melayan kami walau pun mengantuk selepas bertugas shift malam. Dan juga doa semoga diberi kesembuhan dan kesihatan untuk Paklong Sahuri yg masuk ke wad di Kuantan dan Makngah Salbiah yg dimasukkan ke wad di Puchong. Semoga Allah memberi kesembuhan....Amien.

Terima kasih kerana berkunjung. Eid Mubarak untuk semua. Maaf zahir dan batin. Kullu 'am wa antum bi khair.

Taqqabbalallahu minna wa minkum.











Friday, 2 August 2013

Salam Lebaran 1434 H



Salam lebaran...eid mubarak diucapkan untuk semua pengunjung blog ini.


Kullu 'am wa antum bi khair...

 “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangan (hari terakhir Ramadan 30 hari) dan kamu mengagungkan Allah (bertakbir raya) atas petunjuk-Nya yang dianugerahkan kepada kamu agar kamu menjadi orang-orang yang bersyukur.” - ayat 185 surah al-Baqarah


Sunday, 21 July 2013

Daging Masak Dendeng

Salam...

Selamat berpuasa untuk semua muslimin dan muslimat.........

Ni siaran ulangan utk daging masak dendeng...hehe. Saya & hubby suka makan daging dendeng ni. Buat hidangan masa berbuka dan sahur. Sedap makan dengan nasi, nak makan dengan roti pun boleh... Kalau ada yg berminat nak mencuba masakan ni, cari resepinya di sini

Ramadhan Mubarak. Salam ceria utk semua....

Wednesday, 10 July 2013

Kuih Cara Manis

Salam untuk semua...

Dialog bulan puasa antara anak dan ibu...

Mama: Abang nak makan apa untuk sahur esok?

Anak: Nak makan maggi boleh tak?

Mama: Hah...maggi????

Ramadhan datang lagi. Mesti para ibu sibuk memikirkan apa menu yg nak dimasak terutama sekali nak memujuk anak-anak yg baru belajar berpuasa macam saya ni...hehe. Kena-kena pulak anak tu selamba je tanya boleh tak dia  makan maggi!!!. Aduh...anak-anak. Tercabar la azam mama nak sediakan makanan yg sihat-sihat untuk keluarga sepanjang bulan Ramadhan nih...

Sempena bulan Ramadhan nih, entry saya ni akan dipenuhi dengan resepi untuk berbuka puasa (iftar). Iftar je tau...kalau ada sesat resepi sahur tu...rezeki u all la...hehe. Rasa macam nak masak juga resepi banjar tuh, insyaAllah.

Di dalam kesibukan kita bekerja dan menguruskan keluarga, cuba ambil sedikit masa untuk tadarus al Quran walaupun sedikit. Bukan senang nak dapat pahala besar macam bulan puasa nih. Mudah-mudahan dipermudahkan. Kalau tak sempat sangat, berzikir sambil buat kerja atau masa pandu kereta (contohnya lah ye).

Dalam entry kali ni, nak share dengan u all resepi kuih cara manis. Sesuai dijadikan juadah berbuka puasa.


Cara Manis

Bahan-bahan:
300g tepung gandum
600ml santan sederhana pekat/susu segar
3 camca besar jus pandan
2 biji telur
1 1/2 camca teh garam
Pewarna hijau
Sedikit gula untuk dibuat inti

Cara membuatnya:
1. Campurkan tepung, santan, telur dan garam. Kacau rata. Kemudian masukkan jus pandan (boleh ganti dengan perasa pandan, tapi jus ori lagi best) dan sedikit pewarna hijau. Tapiskan jika adunan berketul.
2. Panaskan acuan, lengser dengan minyak. (Saya selalu guna berus pandan untuk sapukan minyak. Potong daun pandan kepada 3 atau 4 potongan, kumpulkan dan ikat salah satu hujungnya. Satu hujung lagi dipotong-potong sedikit menyerupai berus).
3. Lepas minyak tu dah panas, tuang adunan perlahan-lahan. Tunggu sekejap, lepas tu masukkan gula pasir (ikut suka nak banyak mana dan ikut saiz kuih.. Saya letak 1/2 sudu teh...jangan letak banyak-banyak ye...nanti diabetes...hehe...). Jangan cepat sangat letak gula dalam kuih, nanti kuih bocor,....habis kuih dah tak manis.....hai...macam-macam la....abih tu, dah nak makan sedap-sedap kan....wajib la bersabar....hehe.


Setakat ini dulu ye. Nantikan entry yg lain tau. Selamat berpuasa untuk semua. Natijah kepada dialog di atas ialah....anak saya memang makan maggi untuk sahur tuh...huhu

Sampai jumpa lagi. Salam Ramadhan...

Ramadhan Mubarak 1434 H

Courtesy of allinwallpapers.blogspot.com

Salam Ramadhan buat semua pengunjung blog ulunbanjarese. Bersama-sama kita tingkatkan dan beristiqamah dengan amalan kebaikan sepanjang bulan yg mulia, insyaAllah.

"Barangsiapa yg berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan berjaga-jaga serta keikhlasan, maka diampunkan segala dosanya yg terdahulu" - Hadith sahih riwayat Bukhari dan Ibnu Majah

"Apabila tibanya bulan Ramadhan, maka dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka serta dibelenggu para syaitan" - Hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim