Saturday, 13 October 2012

Donut

Salam untuk semua...

Sekarang sudah masuk suku ke empat 2012. Ada yg sibuk dengan belanjawan; belanjawan negara, termasuk juga belanjawan peribadi...hehe...ada yg sibuk anak nak exam, kadang-kadang mak lagi sibuk daripada anak bila sampai time exam nih...ada yg mak nak ambik exam juga...ada yg sibuk tanda kertas exam...ada yg nak merancang bercuti sebab nak habiskan cuti tahun...apa-apa pun semoga apa yg dilakukan akan diberi kemudahan olehNya.

Lebih kurang dua minggu lagi, insyaAllah kita semua akan meraikan Aidiladha. Teringat sangat kat mak dan abah kat tanah suci. Teringin sangat nak ke sana, sekurang-kurangnya buat umrah dulu. Semoga Allah memakbulkan doa-doa saya dan semoga mak dan abah sentiasa diberi kesejahteraan dan keselamatan sepanjang berada di tanah suci. InsyaAllah, mak dan abah akan pulang ke tanah air pada pertengahan November.

Bila sebut pasal Aidiladha ni, tahun lepas saya berpeluang tengok orang buat korban di masjid. Masih teringat bau darah lembu yg menusuk-nusuk ke hidung. Kuat betul baunya...Tapi tak sanggup pula nak tengok orang sembelih lembu tuh...darah gemuruh...hehe. Semoga tahun ni kesempatan macam tahun lepas datang lagi. Nak bawa anak pegi tengok orang buat korban lagi (walaupun dia komplen bau lembu tu busuk...hehe....jangan serik ye, nak...). Mudah-mudahan apa yg kita lakukan hari ini menjadi contoh yg baik untuk anak-anak kita...InsyaAllah.

Panjang pula entry ku...yelah, dah lama tak update blog...melepaskan rindu la ni....hehe. Tapi hari ni bukan nak share hidangan hari raya...masak-masak biasa je. InsyaAllah...klu ada kesempatan, nanti nak snap gambar hidangan raya dan bubuh je kat sini (macam la hebat sangat...huhu).

Kali ni nak share dengan u all semua cara buat donut yg agak mudah. Dah banyak resepi yg dicuba, tapi ini antara resepi yg saya rasa ok. Kuihnya lembut dan cantik, tapi agak manis. Boleh kurangkan gula kalau tak nak manis sangat. Resepi amik daripada Myresepi, tapi dah tak ingat yg mana satu. Tak larat nak check satu persatu...kalau ada yg rasa itu resepi dia, tolong la tag ye...hehe.

Kalau ada yg nak mencuba, ini resepinya...

Donut
Bahan-bahan:
500g tepung gandum
4 1/2 camca besar gula pasir (kisar halus)
1 paket yis segera
2 camca besar marjerin
1 biji telur ayam
3 sudu makan susu tepung
1 camca teh baking powder
200ml air

Cara-caranya:
1. Satukan semua bahan kecuali air.
2. Tuangkan air sedikit demi sedikit sambil di gaul rata. Uli sampai tidak melekat di tangan.
3. Tutup adunan dengan kling wrap (atau sebarang penutup) dan ketepikan selama 45 minit.
4. Tumbuk doh untuk keluarkan angin dan uli sekejap untuk melembutkan doh. Canai dan terap doh tadi.
5. Susun donut di atas talam yg ditaburi sedikit tepung. Tutup donut yg telah dibentuk dan ketepikan selama 20 minit.
6. Goreng donut dengan api perlahan.
7. Bila sudah perang, angkat dan golekkan atas gula halus. Siap untuk dihidang.

Ini la kuih feberet anak perempuan saya. Sekali makan boleh habiskan 5 ke 6 biji. Ntah apa yg dia suka sangat dgn kuih ni...mungkin manis gula tu agaknya...hehe...Tinggalkan kat orang lain sikit ok....

Sampai di sini dulu ye. Dah masuk teatime...masa untuk minuman panas...kebetulan harinya pun sejuk pula....

Selamat berhujung minggu untuk semua. Sila datang lagi ye...




Thursday, 27 September 2012

Kenduri Doa Selamat Naik Haji

Salam untuk semua...

Alhamdulillah, tahun ni tertunai juga hajat mak dan abah saya nak pegi haji. Hari Ahad lepas ada buat kenduri doa selamat dan majlis khatam al Quran di kampung sebelum mak dan abah berlepas ke tanah suci. Macam biasa, kalau buat kenduri naik haji ni, dah jadi resmi orang banjar buat wadai kiping. Berkampung le sanak saudara, jiran-jiran dan orang-orang kampung menggentel wadai kiping. Bulat biji mata dibuatnya...macam wadai kiping tu juga...hehe. Kat bawah ni ada foto-foto masa kenduri tu...

Wadai kiping yg telah siap digentel. Gentel sambil sembang-sembang....satu gentel, satu sembang...lama-lama siap la tu...hehe

Wadai kiping yg sudah sedia untuk dimasak...tengah tunggu giliran...hehe. Masak dalam kawah besar...ramai jemputan... Perasan tak batu giling yg tertenggek kat tepi tu? Cuba bayangkan, lepas letih balik keje, giling cili kering ngan batu tuh...silap-silap boleh tertido....hehe

Ni la kuah manis yg tengah tunggu untuk dimasukkan wadai kiping. Gambar sengaja dikecilkan...takut master chef mengamuk...hehe. Kalau ada sesiapa yg nak tag gambar makcik dan kak chik kat atas ni, silakanlah ye....hehe.

Variasi warna...himpunan bunga telur yg disediakan utk majlis khatam al Quran.

Jeng jeng jeng...tak lupa juga wadai kalakatar yg dibawa oleh tetamu yg datang. Alhamdulillah...ada juga yg bawa balungan hayam, lepat liat, apam beras (my favourite!!) dan beberapa jenis kuih lagi yg telah di bantai licin selepas majlis khatam al Quran....hehe.

Alhamdulillah....majlis berjalan dengan lancar. Terima kasih untuk semua saudara, jiran dan orang kampung  yg banyak membantu. Semoga segala bentuk pertolongan diberikan imbuhan yg baik daripadaNya.

 InsyaAllah, mak dan abah akan berlepas pada 3 Oktober. Semoga perjalanan mak dan abah ke tanah suci akan diberkati dan dipermudahkanNya. Semoga mak dan abah akan mendapat haji yg mabrur...Amien.

Tomyam Putih

Salam untuk semua...

Sawadee....teringat masa pegi Bangkok & Phuket dulu. Ini ucapan yg paling kerap didengari bila pegi ke dua-dua tempat ni. Sawadee karp ucapan utk lelaki, untuk perempuan pula di sebut sawadee kaa....emm...menarik juga bahasa orang Thailand ni. Macam bahasa Arab, banyak sebutan berbeza untuk lelaki dan perempuan.

Bila cerita-ceriti tentang Thailand ni kan, dalam entri kali ni, saya nak kongsikan dengan u all resepi daripada jiran Siam saya dulu, Tomyam Putih.

Sekali sekala teringin juga nak makan kuah yg agak masam macam ni. Bagus untuk mengurangkan berat badan...hehe. Masakan siam ni tak sah kalau takde sos ikan...tak cukup syarat kalau takde. Senang je nak cari....kat tesco ada, kat giant ada...merata-ratalah. Cari yg ada label halal. Kalau ada yg berminat nak mencuba, ini resepinya...

Tomyam Putih (campur)
Bahan-bahan:
2 dada ayam (potong nipis, panjang)
2 ekor sotong (potong ikut suka)
Beberapa ekor udang (suka hati banyak mana...hehe)
4 biji bawang merah (diketuk)
3 inci lengkuas (potong kasar)
7 helai daun limau purut
2 batang serai (diketuk)
1 biji bawang besar (potong baji)
Sayur-sayuran: lobak merah, jagung manis, bunga kubis, daun ketumbar, tomato
Beberapa biji cili padi (ketuk sedikit)
Sos ikan
Air limau nipis
Garam dan gula

1. Panaskan air rebusan ayam atau air biasa hingga mendidih. Kemudian masukkan lengkuas yg telah dipotong. Biarkan seketika.
2. Masukkan bawang merah yg telah diketuk dan serai, diikuti dengan sos ikan (masukkan ikut kesesuaian, tambah lagi jika kurang).
3. Masukkan air limau nipis dan cili padi. Masukkan isi ayam, biarkan sebentar.
4. Masukkan sotong dan udang, sayur-sayuran, bawang besar dan daun limau purut. 
5. Perasakan dengan garam dan gula.
6. Tunggu sampai udang, sotong dan sayur masak. Lepas tu bolehlah dihidangkan.

Pastikan ada rasa sos ikan, masam limau, pedas cili padi dan rasa manis. Kalau ada semua rasa ni, jadi la tu. Takpe...takde orang nak bagi markah...hehe.

Sampai jumpa lagi ye. Salam ceria...

Monday, 3 September 2012

Talam Kastard Jagung

Salam untuk semua...

Sudah pasti ramai yg berhujung minggu dgn memenuhi undangan ke rumah terbuka saudara-mara dan rakan-rakan. Saya juga tak terkecuali, menikmati jamuan istimewa dan pada masa yg sama bertemu dengan saudara dan rakan-rakan yg dah lama tak jumpa. Kali ni saya nak share dengan u all aktiviti saya hujung minggu ni.

Alhamdulillah...hujung minggu ni sempat juga menjemput saudara mara dan rakan-rakan menjamu selera di rumah saya ni. Kali ni buat dua jenis kuih je. Yg lain tu semua oder kat katerer je. Kes malas dan tak larat la ni....Yg penting, boleh berkumpul sesama ahli keluarga dan rakan-rakan yg dah lama tak jumpa. Terima kasih untuk yang sudi hadir ke rumah saya semalam. Salah satu hidangan yg disediakan untuk jamuan semalam ialah Tiramisu Kukus. Yang satu lagi tu ialah Talam Kastard Jagung, resepi saya amik daripada MyResepi.

Ini le rupa talam tu. Talam ni (kalau ikut tekak saya ni...) kurang manis. Tapi ada tetamu yg datang semalam cakap ok je sebab diaorang tak suka manis. Terpulang kepada sesiapa yg nak mencuba. Kalau nak lebih manis, tambah gula sikit lagi...jangan la banyak sangat...nanti dapat penyakit pula....

Kepada sesiapa yg nak mencuba, ini resepinya:

Talam Kastard Jagung

Lapisan bawah:
1 1/2 cawan tepung beras
1/2 cawan tepung jagung
1/2 cawan tepung kastard
1 cawan gula
1 cawan jagung krim manis
3 1/2 cawan santan
sedikit pewarna kuning
sedikit garam

1. Satukan kesemua tepung. Masukkan sedikit garam, gula dan santan.
2. Gaul sebati dan tapiskan. Masukkan ke dalam periuk dan masak di atas api kecil sehingga naik wap.
3. Masukkan jagung krim dan gaul lagi hingga sebati.
4. Sapukan permukaan loyang dengan sedikit minyak masak. Tuang adunan tadi dan kukus selama 20 minit.

Lapisan Atas:
2 cawan santan pekat
1 cawan air pandan (guna 3 helai daun pandan)
1 cawan tepung gandum
2 camca besar tepung jagung
1 camca besar tepung ubi
2 biji telur
2 camca besar gula pasir
secubit garam
pewarna hijau

1. Masukkan kesemua bahan dalam mangkuk adunan. Gaul sebati, boleh juga blend semua bahan.
2. Masukkan adunan ke dalam periuk. Masak sampai naik wap, guna api kecil.
3. Cakar-cakarkan adunan bawah dan tuang adunan pandan ke atas lapisan jagung dan kukus selama 20 minit.

Selamat mencuba ye.

Sampai jumpa lagi. Salam ceria...






Thursday, 30 August 2012

Bingkisan Dari Kampung

Salam untuk semua...

Selamat menyambut hari merdeka dan selamat memenuhi jemputan rumah terbuka yg tak putus-putus. Nak ketuk-ketuk laptop dulu sebelum memenuhi jemputan rakan petang nanti. Cuma nak berkongsi dengan u all bingkisan yg dibawa balik dari kampung masa raya aritu.

Ini dia foto rempah kuzi yg dibawa dari kampung. Katanya dibeli daripada seorang pengusaha rempah yg keluarganya berasal dari Parit Abas, Kuala Kurau...kubu kuat banjar Kurau...hehe.

Dan inilah hasil masakannya...

Resepi Timur Tengah, tapi orang Banjar yg buat...macam mana tu??...tapi apa-apa pun, memang sedap rempahnya. Kali ni saya masak kuzi dengan ayam. Saya kurangkan manisnya...kalau manis sangat...becinta nak makan nih....

Alhamdulillah...kalau balik Kurau boleh cari lagi. Kalau ada yg berminat mungkin boleh oder secara kecil-kecilan. Mana tahu kot kot boleh jadi pengedar rempah ni pulak....hehe.

Kepada sesiapa yg nak mencuba, ini resepinya. Saya ikut resepi pada pek rempah dan saya olah sedikit supaya tak terlalu manis...

Ayam Masak Kuzi

Bahan-bahan:
20g rempah kuzi Afdal
1 ekor ayam potong 8 atau 12 (digoreng) atau daging lembu/kambing (direbus)
4 cawan santan daripada sebiji kelapa
4 camca besar susu pekat manis
3/4 cawan susu cair
1/2 cawan air
3/4 cawan sos tomato
1/2 sudu kecil gula (kalau suka...saya tak letak)
Garam secukup rasa

Bahan tumisan:
8 camca besar minyak masak
2 inci kulit kayu manis
1 ulas bawang merah (dihiris)
1 ulas bawang putih (dihiris)

Bahan Hiasan:
4 sudu besar kismis kuning
4 ketul halwa kundur (potong dadu)
6 sudu besar kacang tanah (disangai)
3 camca besar hirisan bawang merah (digoreng)
3 camca besar hirisan bawang putih (digoreng)

Cara menyediakannya:
1. Bancuh rempah kuzi dengan sos tomato, air, susu pekat dan susu cair sampai sebati.
2. Tumis bahan tumisan sehingga wangi dan masukkan bancuhan rempah.
3. Masak hingga mendidih dan sedikit pekat, lebih kurang 10 minit.
4. Masukkan santan, setelah mendidih, masukkan ayam atau daging, kismis kuning, kacang goreng dan separuh daripada halwa tadi. Kemudian masukkan garam secukup rasa.
5. Masak dengan api kecil sehingga naik minyak dan pekat sedikit.
6. Angkat dan hidangkan bersama taburan bawang merah dan putih yg telah digoreng dan lebihan hirisan halwa kundur tadi. 

Sedapnya masak kuzi ni. Lagi lama ayam tu duduk dalam kuahnya, bertambah-tambah sedap.

Terima kasih kerana sudi berkunjung. Nak bersiap untuk penuhi jemputan kawan. Sampai jumpa lagi ye. Salam ceria untuk semua...



Monday, 27 August 2012

Salam Lebaran

Salam untuk semua....

Sudah seminggu kita meraikan lebaran aidilfitri 1433H. Baru hari ni ada kesempatan utk buat entry baru. Tahun ni beraya di kampung hubby di Kepala Batas, Seberang Perai. Alhamdulillah, sambutan aidilfitri tahun ni meriah macam selalu. Cuma ada beberapa kejadian yg mewarnai sambutan raya tahun ni. Antaranya ialah 'berperang' dengan sekumpulan tebuan yg bersarang di dalam almari baju. Maklum la, rumah yg dah lama ditinggalkan, macam-macam boleh berlaku. Apalagi, kami pun 'berjuang' bersungguh-sungguh melawan tebuan tu. Senjatanya ialah penyapu lidi dan pemukul lalat, dan juga ridsect...hehe. Akhirnya seorang pejuang telah tumpas apabila disengat oleh tebuan durjana itu...ish ish ish. Kesian kat hubby...kena amik injection dek terkena sengatan tebuan.
Itu cerita hubby. Cerita saya lagi tragis...huhu. Saya pulak di dalam usaha nak buat last minute shopping (dan juga mencari penyakit...huhu...) telah mengalami kesakitan sebab kaki terseliuh. Ya rabbi...sakit betul. Tak pernah terseliuh teruk macam tu. Jadi terpaksa le beraya dengan kaki terseliuh tuh... Hai...diyang...diyang...kada ada apa nak diulah tuh...cari penyakit haja...Terima kasih untuk Kak Bashah yg sudi nak tolong urut buku lali saya yg bengkak tu...

Masa balik Kurau pulak, dapat le rasa kuih makmur yg sedap buatan orang Banjar Batu 5. Saya suka sangat makan makmur inti kurma. Rasanya lebih kurang macam makmur yg makngah saya buat dulu. Sekarang ni makngah dah tak kuat macam dulu. Alhamdulillah, ada juga makmur yg seakan sama dengan makmur makngah tu. Tapi apa-apa pun, makmur makngah tetap menjadi pojaan hatiku...

Dalam banyak-banyak tu, tapai umak juga yg saudara mara dok tibai. Alhamdulillah, dalam kes membuat tapai ni, air tangan umak ni memang special sikit. Tapai umak rasanya manis dan tak jemu nak ulang-ulang makan. Resepinya....kena la tanya umak sendiri. InsyaAllah, kalau ada kesempatan, saya akan muatkan gambar tapai umak tu. Kali ni tak sempat nak snap gambar la. Lain kali ok.

Panjang pulak entry kali ni. Berbuku-buku kalau nak cerita lagi ni...hehe. Sebelum u all mengantuk baca entry ni (atau saya sendiri yg mengantuk...hehe)...nak la saya kongsi satu resepi yg saya buat beberapa kali dalam bulan Ramadhan. Terima kasih untuk perkongsian resepi Apam Mekar Aiskrim Soda daripada Nuwairani Ismail.


Apam Mekar Aiskrim Soda

Bahan-bahan:
3 biji telur gred A
1 1/2 cawan gula pasir (saya guna 1 1/3 sahaja)
1 camca teh ovalette
1 cawan aiskrim soda F&N
300g tepung gandum
beberapa titik esen pisang
pewarna yg disukai

Cara membuatnya:
1. Putar telur, gula dan ovalette di dalam mixer. Putar hingga kembang dan gebu.
2. Masukkan aiskrim soda dan pukul lagi sehingga sebati.
3. Campurkan tepung gandum dan pukul hingga sebati.
4. Masukkan esen pisang dan sebatikan.
5. Bahagi adunan kepada beberapa bahagian dan warnakan ikut warna kesukaan.
6. Sudukan adunan ke dalam mangkuk kertas sehingga hampir penuh. Jangan sampai melimpah.
7. Kukus dengan api besar selama 7 minit.

Untuk kesan yg lebih dramatik, pastikan adunan diisi hampir penuh, barulah apam ni menjadi semekar-mekarnya...hehe. Seelok-eloknya masukkan mangkuk kertas ke dalam acuan apam atau mana-mana acuan bulat untuk mengelakkan apam ni jadi apam mekar setaman...hehe. Selamat mencuba...

Mata pun dah berat. Terima kasih sebab sudi berkunjung. Sampai jumpa lagi. Salam ceria....


Monday, 20 August 2012

Eid Mubarak

Salam Aidilfitri terutama untuk pengunjung setia blog saya ni. Dah agak lama saya tak update blog. Tak sempat la nak update blog sepanjang bulan Ramadhan lepas. Tak sempat nak snap gambar utk dimuatkan dalam blog juga...huhu.
Takpe, insyaAllah blog ini akan hidup kembali selepas raya ni. Yang penting...sudi sudilah berkunjung...ok...

Selamat meraikan hari raya dengan keluarga tersayang, selamat bersesak-sesak utk balik kampung, selamat utk semua ok...

Salam Aidilfitri...maaf zahir dan batin.