Wednesday, 11 July 2012

Nasi Kacang Dal

Salam untuk semua...

Waktu tengah cari ilham nak masak apa untuk dinner, teringat pulak ada beras basmathi yg dah lama tersimpan. Hmm...apalagi, terus le korek-korek resepi untuk nasi kacang dal. Dulu selalu juga buat, tapi sebab agak sibuk, lama juga nasi ni dilupakan...hehe.

Masa duduk kat Penang dulu, orang makan nasi dal ni dengan kari. Tapi menurut sumber resepi ni, nasi ni sedap juga dimakan dengan ayam masak kurma atau daging masak merah. Sumbernya....dah lupa la. Resepi ni ada kat dalam koleksi resepi zaman muda ku itu...hehe.

Kalau ada yg nak mencuba, ini resepinya...

Nasi Kacang Dal
Bahan-bahan:
2 1/2 tin susu beras tempatan super (saya guna basmathi)
1 1/2 tin susu air rebusan kacang dal
1 tin susu air
1 cawan kacang dal
1/2 cawan minyak sapi
1/2 cawan bawang merah yg telah dimayang
2 batang lobak merah, dipotong halus
1/2 kiub ayam
garam secukupnya

Bahan penumis:
4 kuntum bunga cengkih
3 cm kulit kayu manis
3 biji buah pelaga

Cara memasaknya:
1. Panaskan minyak sapi, tumis bawang dan bahan-bahan penumis yg lain. Masukkan air, air rebusan kacang dal dan biarkan mendidih.
2. Masukkan beras yg telah dicuci, kiub ayam, kacang dal dan garam. Kacau selalu.
3. Apabila nasi hampir kering, masukkan lobak merah, tutup periuk.

Bila masak ni, aromanya penuh satu dapur....(atau satu rumah...hehe). Kalau tak pecaya, cuba la masak...

Sampai di sini dulu ye. Jumpa lagi dalam entry yg akan datang. Salam ceria....


Monday, 9 July 2012

Dalca

Salam untuk semua...

Cepatnya masa berlalu. Pejam celik pejam celik, sudah enam bulan kita melewati tahun 2012. Untuk empat bulan pertama 2012, rutin harian tak banyak yg berubah. Tapi lepas tu, hidup menjadi agak sibuk sebab berpindah ke rumah baru. Tak sempat nak update blog ni, maka berlonggok le resepi masakan yg tak diblogkan...hehe. 
Semalam ada buat makan-makan sikit dengan bos dan kawan-kawan ofis. Terima kasih untuk bos dan kawan-kawan ejen serta family yg sudi memenuhi jemputan. Buat oder je semalam, tak larat le nak masak....pembantu rumah tak boleh nak tolong banyak sebab dia menderita sakit gigi....Alhamdulillah...jamuan semalam berjalan lancar dan harap-harap kawan-kawan yg datang semalam berpuashati dengan layanan tuan rumah, insyaAllah.

Hari ni saya nak share resepi yg dah lama tersimpan, resepi asal daripada Noreen (MyResepi), Dalca Daging, tapi saya letak ayam (bahagian yg bertulang banyak sahaja). Alhamdulillah, sedap...tapi anak-anak boikot....huhu...saya dan hubby je yg makan, dan maid sekali...hehe (dia tu selalu puji saya masak sedap...nak kipas ke bibik??...) Apa-apa sajalah....asal bahagia...hehe....Kalau ada yg berminat nak mencuba, ini resepinya....

Dalca
     
    Bahan-bahan:
    200gm kacang dhal - direbus
    200gm daging lembu - dihiris (saya guna bahagian ayam yg banyak tulang)
    2 biji terung bulat - dipotong kecil2
    2 biji lobak merah (karot) - dipotong kecil2
    2 biji kentang
    10 batang kacang panjang - dipotong
    50gm serbuk kari daging + sedikit air
    4 cawan santan
    Sedikit daun kari
    Minyak masak dan garam
    Bahan tumisan:
    3 biji buah pelaga
    2 kuntum bunga lawang
    3 kuntum bunga cengkih
    5 ulas bawang merah - dikisar
    2 cm halia - dikisar
    3 ulas bawang putih - dikisar
    2 biji bawang besar - dikisar

Cara-cara
1. Panaskan minyak masak dalam periuk. Tumiskan daun kari, kulit kayu manis, buah pelaga, bunga lawang dan bunga cengkih hingga berbau.
2. Masukkan bahan2 kisar dan kacau rata. Kemudian tuangkan bancuhan serbuk rempah kari. Goreng hingga garing. 
3. Seterusnya masukkan daging dan perlahankan api. Masak hingga daging lembut. 
4. Akhir sekali, masukkan kacang dhal, santan, sayur-sayuran dan garam. Masak hingga mendidih.


Sampai di sini dulu ok. Ada lagi resepi yg saya nak share dalam koleksi saya tu. InsyaAllah, kita jumpa dalam entry yg lain pula ye. Sampai jumpa lagi. Salam ceria...

Sunday, 1 July 2012

Doa Selamat Masuk Rumah Baru

Salam untuk semua.

Hari ni agak keletihan lepas buat jamuan doa selamat dan sambutan harijadi Aliyah semalam. Terima kasih saya ucapkan untuk kulaan dan kawan-kawan yg sudi memenuhi jemputan. Terima kasih untuk Cik Ana yg banyak membantu (harap2 dia baca la entry ni...hehe). Terima kasih juga untuk Hababa yg dah siapkan kek Barbie yg cantik utk Aliyah, walaupun oder last minute....huhu.


Harijadi Aliyah sepatutnya buat bulan lepas. Tapi sebab sibuk dgn proses pindah rumah, kena postpone dulu. Dah lama dia idamkan kek Barbie ni. Alhamdulillah, termakbul juga hajat budak kecik tu. Mama harap Aliyah happy ye. Terima kasih juga utk guru-guru sekolah Aliyah yg sudi meraikan majlis semalam. Semoga anak mama akan menjadi anak yg solehah, taat kepada ibu bapa, dan menjadi insan yg memberi manfaat yg banyak kepada orang lain, insyaAllah.

Semalam ada percubaan utk membuat kek epal yg dah lama bercadang nak buat. Ini le hasilnya....rupanya hmm...agak buruk....hehe....tapi saya suka rasa serbuk jintan manis yg ada dalam kek tu. Kombinasi yg menjadi kemestian utk kebanyakan masakan yg menggunakan epal.






Resepi kek ni saya amik daripada rancangan TV Martha Stewart. Yg menyebabkan kek ni istimewa pada saya ialah sos karamel yg menyaluti kek. Mmm...sedap....ntah apa pendapat tetamu-tetamu yg datang semalam...tak sempat nak tanya. Yg pasti, tukang masaknya suka....hehe....(kali ni bakul terus terbang, tak payah diangkat-angkat lagi...hehe).

Kalau ada yg berminat utk mencuba, ini resepinya:

Kek Epal

Bahan-bahan:
1 1/3 cawan minyak 
3 cawan tepung serbaguna
1 camca besar serbuk kayu manis
1 camca teh baking soda
1 camca teh garam
2 cawan gula
3 biji telur saiz besar
3 atau 4 biji epal (potong dadu, anggaran dalam 3 cawan)
1 cawan kacang, seperti pecan, walnut dan lain-lain (optional)
1 camca teh esen vanila

1. Panaskan oven (saya guna 180'C). Griskan acuan kek.
2. Ayak tepung, serbuk kayu manis, baking soda dan garam (saya guna garam halus). Ketepikan.
3. Pukul minyak, gula dan telur dengan kelajuan yg tinggi. 
4. Perlahankan kelajuan mixer, masukkan bahan yg diayak dan pukul sampai sebati.
5. Campur epal dan kekacang (saya tak letak). Masukkan esen vanila, putar sampai sebati.
6. Masukkan adunan ke dalam acuan, bakar sehingga 75 atau 90 minit atau sehingga masak.
7. Setelah masak, keluarkan dari oven dan sejukkan.
8. Hidangkan dengan sos karamel.

Sos karamel
1 cawan gula perang
1 pek butter
1/4 cawan susu cair
1 camca teh esen vanilla
Secubit garam

Gaul di atas api sederhana sehingga mencapai tahap kepekatan yg dikehendaki. Tuang atas kek semasa panas. Kalau dah sejuk, nanti jadi macam kek saya tu....huhu.

Huh....rasa macam nak pegi urut kat spa je. Lenguh sana sini. Tapi mata pun macam berat pulak. Hari ni nampaknya hari rehat saya la. Terima kasih untuk yg sudi berkunjung. Kalau nak jadi follower, isikan detail bawah title "Follower" kat sebelah kanan blog ni ye, terutama sekali utk yg suka paste and copy entry blog saya ni...hehe.

Sampai jumpa lagi....salam ceria....

Friday, 22 June 2012

Serawa Rastali

Salam untuk semua...

Lamanya tak update blog ni. Rindu betul nak berblogging. Alhamdulillah, hari ni kerinduan tu terubat juga...Sebenornya yg buat saya sibuk sangat ni sebab pindah rumah baru. Banyak urusan yg berkaitan selain daripada mengangkut barang-barang dan urusan kemas mengemas rumah yg seperti tidak berkesudahan....waduhh...penat...penat....tak sempat nak jeling laptop, apatah lagi nak update blog...huhu.
Alhamdulillah, kesibukan tu dah berkurangan, dan yg paling buat saya happy sangat lepas pindah rumah ni ialah merealisasikan taman impian yang dah lama saya idam-idamkan. Tak besar sangat, tapi cukup la untuk saya bercucuk tanam dan untuk anak-anak saya bermain kat situ. Jom kita tengok apa yg ada kat taman saya tu...

Ni pokok timun yg baru menjalar nak panjat tiang.


Pokok limau purut ni hidup subur kat taman baru. Banyak berbunga dan mengeluarkan tunas-tunas baru. Kalau ada sesapa nak masak tomyam, meh la petik daunnya kat sini...Ada pokok limau nipis, pokok buah naga, cili merah, cili padi...bla bla bla...(semua nak tanam, jangan rumah jadi hutan udah le...).

Budak-budak pun happy sebab ada tempat main yg baru. Pusing-pusing naik basikal...masa tengahari panas pun nak main jugak...

Macam biasa, bila dah buat entry baru ni, nak sharing-sharing apa yg saya dah masak baru-baru ni. Dah lama tak makan pengat pisang, nampak je pisang awak (rastali), terus decide nak buat pengat. Kalau kat kampung dulu, pengat ni dipanggil serawa pisang, selalu dibuat masa bulan puasa. Antara pemanis mulut yg saya gemari dari dulu sampai sekarang.


Cepatnya masa berlalu, sekarang kita sudah melangkah ke bulan Syaaban. Semoga kita dapat mempertingkatkan ibadah kita di bulan-bulan yg penuh dengan keberkatan. Banyak nostalgia yg sentiasa diingati saban tahun terutamanya masa bulan puasa. Oops...kita simpan dulu cerita ni okay. Nanti habis modal nak bercerita...hehe.

Terima kasih sebab sudi berkunjung. Nanti singgah lagi ok. Salam ceria...

Thursday, 19 April 2012

Sotong Masak Hitam

****Tanggal 19 April 2012, mengembalikan nostalgia tahun 2001....

Salam untuk semua...

Tiba-tiba rasa teringin pulak memunggah resepi-resepi lama yang saya pernah copy + paste....hehe....mana ada...resepi yang saya salin daripada buku masakan masa saya mengajar di SMK Kuala Kurau tahun 2001. Masa tu bujang lagi la....hehe. Di antara buku yang saya masih ingat ialah buku resepi tulisan Dato Zakiah Hanum dan beberapa buku lain yang saya tak ingat lagi tajuk dan penulisnya. Alhamdulillah....usaha saya tu tidak terperam menjadi wadi atau pekasam...hehe. Bila dah berumahtangga ni, berguna juga apa yang saya kumpulkan dulu...

Dalam resepi yang banyak-banyak tu, kali ni saya decide nak masak sotong masak hitam. Jangan takut, takde yang hitam legam dalam resepi ni. Entah la kenapa dia namakan masak hitam...kuah dia agak gelap, tapi takde le hitam sangat. Kada hirang pun...

Kalau ada yang berminat nak mencuba, ini resepinya.

Bahan-bahan:
600g sotong, dibuang kulit dan tulang tengah
Satu inci halia
Satu inci kunyit hidup
4 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
Satu labu bawang besar - hiris bulat
Sebiji cili merah dan cili hijau - potong serong
Satu camca kecil garam

Cara memasaknya:
1. Perap sotong dengan garam selama 15 minit. Sotong boleh dibiarkan seekor-seekor atau dipotong ikut suka.
2. Tumbuk kasar halia, kunyit hidup, bawang besar dan bawang putih.
3. Tumis bahan yang telah ditumbuk sehingga garing sedikit.
4. Kemudian masukkan sotong dan digaul rata. Apabila sotong sudah separuh masak, masukkan bawang besar dan cili yang telah dipotong.
5. Kacau sampai sotong masak. Dah siap...

 Sampai di sini dulu ye. Tunggukan entry yang lain pula ok. Salam ceria...


Saturday, 14 April 2012

Daging Masak Kicap Pedas

***Tanggal 14 April 2012; Banda, Aceh gempa lagi....

Salam untuk semua...

Rabu lepas (11 April) sekali lagi Banda, Aceh dilanda gempa bumi yang agak dashyat macam yang pernah berlaku pada tahun 2004. Alhamdulillah, tidak berlaku tsunami yang teruk macam tahun 2004 tu. Saya masih ingat pada tahun tu, masa saya menetap di Pulau Pinang, bunyi siren ambulan sentiasa kedengaran sebab ramai yang menjadi mangsa tsunami di Batu Feringgi. Alhamdulillah, kali ni takde kejadian tsunami yang teruk macam dulu tu. Gegaran kali ni turut dirasai di Kuala Kurau, kampung halaman saya tu. Tapi tak seteruk tahun 2004 tu. Tsunami masa tu telah meragut 2 nyawa di Kuala Sungai Burung, kawasan pinggir laut yang dekat dengan Kuala Kurau. Kejadian macam ni mengingatkan kita untuk lebih menghargai kehidupan, melakukan yang terbaik bukan sahaja untuk dunia, malah untuk satu penghidupan yang abadi di sana. Semoga mereka yang ditimpa bencana ini redha dengan ujianNya, dan semoga sabar dan tabah menghadapi segala kesulitan dan kepayahan...Amien.

Kita tinggalkan dulu cerita gempa bumi tu. Kali ni saya nak share dengan u all resepi kegemaran anak lelaki saya, Daging Masak Kicap Pedas. Mudah je resepi daging ni. Kalau ada yang nak mencuba, ini resepinya.



Bahan-bahan:
1/2 kilo daging
4 biji bawang putih - tumbuk kasar
3 camca makan cili kisar
1 sudu makan lada hitam
Sedikit kicap masin dan kicap manis
Sekeping asam keping
Satu labu bawang besar (potong bulat atau separa bulat)
Sebiji cili merah dan cili hijau - dihiris

Cara memasaknya:
1. Bersihkan daging dan potong nipis dan panjang. 
2. Panaskan minyak, kemudian masukkan bawang putih yang telah ditumbuk. Biarkan garing sedikit, kemudian masukkan cili kisar. Masak cili sampai pecah minyak. 
3. Masukkan daging yang dipotong, gaul rata. Biarkan daging masak perlahan-lahan, tunggu sampai airnya agak kering, kemudian masukkan serbuk lada hitam. Kacau rata. Masukkan
4. Kemudian masukkan kicap masin dan kicap manis, diikuti dengan bawang besar dan hirisan cili merah. Masukkan juga asam keping. Tidak perlu letak garam sebab kita dah guna kicap masin. Kalau tak ada kicap manis, tambahkan sedikit gula. Tak perlu banyak sebab bawang besar juga memaniskan kuah daging ni. Kalau tak nak pedas, kurangkan jumlah cili kisar dan serbuk lada hitam. Emm....dah siap. 

Bila masak daging ni, gerenti anak lelaki saya tu makan nasi. Memilih makan le anak jantan saya ni...hehe. Pening kepala mama ni nak pikior apa nak bagi kamu makan....huhu.

Sampai jumpa lagi ye. Terima kasih sebab sudi bertandang. Salam ceria untuk semua....

Sunday, 8 April 2012

Laksa Penang

****Tanggal 8 April 2012, renovation in progress

Salam untuk semua...

Alhamdulillah, sempat berblog walaupun agak sibuk dengan pelbagai perancangan untuk masa terdekat ni, terutamanya perancangan untuk rumah baru. Tadi sempat pegi kedai lampu untuk teropong dan belek-belek lampu yg nak dipakai kat rumah tu. Sekarang ni kepala tengah kelabu asap dek penangan cahaya-cahaya lampu itu. Jadinya ini masa untuk rehat dan duduk mengadap laptop....hehe.

Baru-baru ni saya ada la tahaga (jumpa) satu blog ni, Herti Kitchen Gallery, blogger dari Indonesia. Banyak masakan yang simple dan cepat untuk disiapkan boleh didapati daripada blog ni. Saya dah cuba salah satu daripada resepinya, Tiramisu Kukus Ekonomi. Tak pasti la pulak apa maksud ekonomi tu, yg pasti kuih ni simple dan cepat untuk disiapkan.


Sedap rasanya, dan yang paling saya suka sebab resepi ni guna nescafe untuk lapisan atas. Itu le ubat yg paling mujarab untuk sinus saya ni...hehe. Terima kasih ya, Bu Herti, enak kue ni....

Hidangan hujung minggu ni ialah feberet anak-anak saya, Laksa Penang. Yang ni pun feberet saya dan adik-beradik masa kami kecik-kecik dulu....dan emm...sampai sekarang pun...hehe. Kalau dulu umak tu mesti buat laksa banyak-banyak sebab kami semua suka makan laksa berulang-ulang. Itu cerita zaman bahari la. Kalau buat perangai macam tu bila dah besar panjang ni, nanti dapat la berkilo-kilo tayar percuma....hehe.


Kalau ada yg berminat nak cuba memasaknya, ini resepinya. Untuk laksa tu, boleh pilih laksa segera, tak perlu dimasak lagi. Saya lebih suka guna laksa kering. Laksa kering tu saya rendam dalam 4 atau 5 jam. Lepas tu masukkan laksa ke dalam air mendidih, masak sampai laksa menjadi lembut. Kemudian masukkan ke dalam penapis dan lalukan di bawah air paip (untuk buang kanji yg berlebihan).

Bahan-bahan untuk kuah (satu paket laksa):
600g (sekati) ikan sardin
Seikat (kecil) daun kesum
2 atau 3 kuntum bunga kantan
3 batang serai
15 atau 20 tangkai cili kering (dikisar halus)
6 biji bawang merah (kisar bersama cili kering)
Satu inci belacan (kisar bersama cili kering)
4 atau 5 keping asam keping (sederhana besar)
1 sudu makan lada hitam
Bahan perisa (optional)

Cara membuatnya:
1. Bersihkan ikan, kemudian rebus sehingga masak. Ambil air rebusan ikan untuk dimasukkan ke dalam kuah laksa. Asingkan isi daripada tulangnya. Blend halus isi ikan dengan air yang mencukupi, tuang ke dalam periuk. Blend tulang ikan dan tapiskan airnya ke dalam periuk. Ini akan menambahkan rasa enak kepada kuah tadi.
2. Masukkan campuran cili yang telah dikisar, daun kesum, bunga kantan, asam keping dan serai ke dalam periuk yang telah diisi dengan isi ikan yang dikisar. Masak di atas api sederhana.
3. Bila kuah sudah mendidih, masukkan lada hitam, garam dan bahan perisa.
4. Perlahankan api, biar kuah mendidih agak lama di atas api. Kalau kuah terlalu pekat, tambah sedikit air.
5. Setelah kuah masak, bolehlah laksa dihidangkan bersama kuah dan bahan-bahan perhiasannya.

Bahan-bahan perhiasan:
Timun
Daun salad atau daun selom
Bawang besar
Cili merah
Cili padi
Bunga kantan

Racik halus semua bahan perhiasan, taburkan di atas laksa. Boleh juga ditambah daun pudina, nanas dan telur rebus, ikut selera masing-masing.

Masa tengah masak kuah tu, anak lelaki saya asyik-asyik menjenguk dapur dan sibuk bertanya, laksa dah siap ke belum...huhu. Saya kecik-kecik dulu pun camtu jugak...hehe. Kemana tumpahnya kuah....err tolong sambung...kalau tidak ke nasi kot...hehe. Sabarlah, nak. Kejap lagi masak la tuu...(berlaku setiap kali masak laksa).

Sampai disini dulu ye. Sehingga bertemu lagi.