Sunday, 8 April 2012

Laksa Penang

****Tanggal 8 April 2012, renovation in progress

Salam untuk semua...

Alhamdulillah, sempat berblog walaupun agak sibuk dengan pelbagai perancangan untuk masa terdekat ni, terutamanya perancangan untuk rumah baru. Tadi sempat pegi kedai lampu untuk teropong dan belek-belek lampu yg nak dipakai kat rumah tu. Sekarang ni kepala tengah kelabu asap dek penangan cahaya-cahaya lampu itu. Jadinya ini masa untuk rehat dan duduk mengadap laptop....hehe.

Baru-baru ni saya ada la tahaga (jumpa) satu blog ni, Herti Kitchen Gallery, blogger dari Indonesia. Banyak masakan yang simple dan cepat untuk disiapkan boleh didapati daripada blog ni. Saya dah cuba salah satu daripada resepinya, Tiramisu Kukus Ekonomi. Tak pasti la pulak apa maksud ekonomi tu, yg pasti kuih ni simple dan cepat untuk disiapkan.


Sedap rasanya, dan yang paling saya suka sebab resepi ni guna nescafe untuk lapisan atas. Itu le ubat yg paling mujarab untuk sinus saya ni...hehe. Terima kasih ya, Bu Herti, enak kue ni....

Hidangan hujung minggu ni ialah feberet anak-anak saya, Laksa Penang. Yang ni pun feberet saya dan adik-beradik masa kami kecik-kecik dulu....dan emm...sampai sekarang pun...hehe. Kalau dulu umak tu mesti buat laksa banyak-banyak sebab kami semua suka makan laksa berulang-ulang. Itu cerita zaman bahari la. Kalau buat perangai macam tu bila dah besar panjang ni, nanti dapat la berkilo-kilo tayar percuma....hehe.


Kalau ada yg berminat nak cuba memasaknya, ini resepinya. Untuk laksa tu, boleh pilih laksa segera, tak perlu dimasak lagi. Saya lebih suka guna laksa kering. Laksa kering tu saya rendam dalam 4 atau 5 jam. Lepas tu masukkan laksa ke dalam air mendidih, masak sampai laksa menjadi lembut. Kemudian masukkan ke dalam penapis dan lalukan di bawah air paip (untuk buang kanji yg berlebihan).

Bahan-bahan untuk kuah (satu paket laksa):
600g (sekati) ikan sardin
Seikat (kecil) daun kesum
2 atau 3 kuntum bunga kantan
3 batang serai
15 atau 20 tangkai cili kering (dikisar halus)
6 biji bawang merah (kisar bersama cili kering)
Satu inci belacan (kisar bersama cili kering)
4 atau 5 keping asam keping (sederhana besar)
1 sudu makan lada hitam
Bahan perisa (optional)

Cara membuatnya:
1. Bersihkan ikan, kemudian rebus sehingga masak. Ambil air rebusan ikan untuk dimasukkan ke dalam kuah laksa. Asingkan isi daripada tulangnya. Blend halus isi ikan dengan air yang mencukupi, tuang ke dalam periuk. Blend tulang ikan dan tapiskan airnya ke dalam periuk. Ini akan menambahkan rasa enak kepada kuah tadi.
2. Masukkan campuran cili yang telah dikisar, daun kesum, bunga kantan, asam keping dan serai ke dalam periuk yang telah diisi dengan isi ikan yang dikisar. Masak di atas api sederhana.
3. Bila kuah sudah mendidih, masukkan lada hitam, garam dan bahan perisa.
4. Perlahankan api, biar kuah mendidih agak lama di atas api. Kalau kuah terlalu pekat, tambah sedikit air.
5. Setelah kuah masak, bolehlah laksa dihidangkan bersama kuah dan bahan-bahan perhiasannya.

Bahan-bahan perhiasan:
Timun
Daun salad atau daun selom
Bawang besar
Cili merah
Cili padi
Bunga kantan

Racik halus semua bahan perhiasan, taburkan di atas laksa. Boleh juga ditambah daun pudina, nanas dan telur rebus, ikut selera masing-masing.

Masa tengah masak kuah tu, anak lelaki saya asyik-asyik menjenguk dapur dan sibuk bertanya, laksa dah siap ke belum...huhu. Saya kecik-kecik dulu pun camtu jugak...hehe. Kemana tumpahnya kuah....err tolong sambung...kalau tidak ke nasi kot...hehe. Sabarlah, nak. Kejap lagi masak la tuu...(berlaku setiap kali masak laksa).

Sampai disini dulu ye. Sehingga bertemu lagi.


No comments:

Post a Comment