Monday, 2 April 2012

Kerabu Ikan Kembung

***Tanggal 2 April 2012, kunjungan si kecil & Puding Koktel Buah-buahan

Salam utk semua.

Minggu lepas saya ada menerima kunjungan daripada si comel, Irham Rifqi. Bukan main keletah lagi budak kecik tu. Dah makin bijak sekarang ye, Irham. Semoga menjadi anak yg soleh dan taat kepada ibu bapa ye, Irham.

Ayah si Irham ni pulak rupa-rupanya dok mengidam nak makan puding fruit cocktails yg saya pernah suatu masa dahulu....huhu...dah lama la tu....sampai dah ada orang mengidam...hehe. Jadi, kakak yg baik hati ini tidak menghampakan permintaan adiknya itu....hihi...

 Ini la dia puding fruit cocktails tu. Yummylicious...hehe. Untuk kalori dan lemak tersembunyi tu, kita pejam mata jelah...hehe. Sekali-sekala...takpe kan. Resepinya saya amik daripada fotopage Mak Lang (suatu masa dahulu). Kepada sesiapa yg nak mencuba, kat bawah ni resepinya.


Kastard: 1 cawan tepung kastard, 5 cawan air dan satu sudu gula.
Campurkan semua bahan, masak atas api sederhana sampai pekat dan berkilat. Kemudian masukkan ke dalam loyang. Sejukkan.

Kuah: 
1 tin susu cair
1 tin besar mixed fruit cocktails
1/2 cawan air
4 sudu gula
1 camca teh esen vanila

Kacau bahan-bahan di atas api perlahan sampai gula hancur. Sejukkan. Satukan kastard dan kuahnya, seelok-eloknya dimasukkan ke dalam peti ais sebelum dihidangkan.

Minggu lepas ada juga saya buat kerabu ikan kembung, resepi yg jiran Siam saya bagi. Banyak resepi yg saya dapat daripada Anuc ni. Beruntung juga berjiran dengan orang Siam ni...hehe. 

Senang je nak buat kerabu ikan ni...nyaman me'ulah....tapi amik masa sikit untuk perisi (asingkan isi dan tulang) ikan tu. Lepas perisi ikan, tumbuk isi ikan halus sedikit. Pastu campur ngan serai yg di racik halus dan cili padi yg dipotong kecil. Nak extra pedas, letak la cili padi banyak-banyak....biar berasap sampai ke telinga. Seelok-eloknya campurkan ikan yg ditumbuk dengan serai yg diracik dan perah sedikit air limau nipis, kacau sebati. Kemudian masukkan cili padi dan di kacau ala kadar sahaja. Cubalah...sedap.

Sampai jumpa lagi. Terima kasih utk yg sudi berkunjung. Salam sayang utk semua.



Tuesday, 27 March 2012

Kerabu Kangkung

****Tanggal 27 Mac 2012 - Equinoks


Salam untuk semua.

Gambar gelap gulita kat atas ni sebenornya nak menunjukkan pantulan sinaran matahari yg masih garang walaupun dah masuk pukul 6 petang. Inilah dia fenomena equinoks, bila matahari betul-betul duduk kat garisan Khatulistiwa. Terang benderang rumah dibuatnya. Ingatkan lupa tutup lampu...hehe. Equinoks ni juga dikenali sebagai fenomena 'hari tanpa bayang-bayang'. Subhanallah...hanya Allah yg tahu hikmah di sebalik setiap kejadian.

Hari yg bertuah ini merupakan hari lahir saya. Tapi jangan la tanya ada celebrate ke tidak...huhu...hari keje, tak adalah jawabnya. Kena la tunggu hujung minggu.

Tapi takpe, ada juga resepi baru untuk hari ni. Resepi ni saya dapat daripada tukang masak yg bagi resepi  sambal hijau baiduri tu. First time buat....failed....kali kedua ni ok la. Boleh la nak sharing dengan u all. Tapi resepinya saya agak-agak saja...hehe. Sebab tukang masak tu tak bagi sukatan yg tepat...huhu. Apalagi...trial and error la....


Kerabu Kangkung

Bahan-bahan:
Seikat kangkung
3 ulas bawang merah*
2 ulas bawang putih*
1 inci halia*
1 inci lengkuas*
Sebatang serai*
(kisar bahan-bahan bertanda *)
Sedikit ikan bilis (tumbuk halus)
1/2 cawan kacang tanah (goreng separuh masak, tumbuk halus)
Sebiji telur
Sedikit tepung jagung

Cara membuatnya:
1. Bersihkan dan potong daun kangkung. Masukkan dalam satu bekas.
2. Masukkan bahan-bahan yg telah dikisar. Gaul rata.
3. Kemudian masukkan kacang tanah dan ikan bilis. Gaul lagi.
4. Pecahkan telur. Gaul sebati.
5. Taburkan tepung jagung.
6. Sendukkan kangkung yg diperap tadi ke dalam minyak panas (seperti menggoreng ikan).
7. Bila dah garing, angkat dan hidangkan.

Nampak renyah utk menyediakannya, tapi berbaloi.

Terima kasih utk yg sudi singgah.Sampai ketemu lagi. Salam ceria....


Sunday, 25 March 2012

Apam Gula Hangus
*** Tanggal 25 Mac 2012 (setelah lama tidak berblog)

Salam untuk semua.

Sebenarnya rindu sangat nak berblogging nih. Tapi apakan daya, agak sibuk dan bila masak pulak, nak masuk dalam entry nanti jadi siaran ulangan pulak. Alhamdulillah, hari ni ada kesempatan nak buat entry baru. Baru je balik dari program usrah, antara topik perbincangan hari ni ialah tanda halal yg diluluskan oleh Jakim. Inilah logo standard halal yg diperakui Jakim:


Emm...kalau nak beli makanan di pasaraya atau nak makan di kedai atau gerai makanan, perhatikanlah logo ni. Semoga kita dan ahli keluarga kita terhindar daripada memakan makanan yg diragui kehalalannya...

Alhamdulillah, hari ni sempat menyediakan apam gula hangus untuk santapan kawan-kawan usrah. Kawan-kawan cakap apam ni sedap. Apalagi...'kembang' la tukang masak ni...hehe. Jgn cemburu ok...jika anda ingin juga dicemburui, di sini saya turunkan resepinya. Kalau tak silap, resepi ni saya amik daripada blog Kak Hanieliza. Kurang ingatan la....dah lama sangat....hehe.

Apam Gula Hangus
Bahan-bahan:
1  cawan gula pasir
1 cawan air
2 biji telur
2 camca besar marjerin
2 sudu makan susu pekat
1/2 cawan minyak masak
1 camca teh soda bikarbonat
1 1/2 cawan tepung gandum

Cara-cara membuatnya:
1. Sediakan dulu gula hangusnya. Panaskan gula di atas api perlahan, kacau sampai gula cair dan berwarna sedikit perang. Tutup api dan masukkan satu cawan air. Buka semula api dan masak dan kacau supaya gula larut dalam air. Ketepikan dan pastikan sejuk sebelum digunakan.
2. Putar telur, marjerin, susu pekat dan minyak masak dalam anggaran 3 minit.
3. Kemudian masukkan gula hangus dan soda bikarbonat. Putar lagi sebentar.
4. Masukkan tepung sedikit demi sedikit. Perlahankan kelajuan mixer dan pastikan tepung diadun sebati dengan bahan yang lain.
5. Masukkan campuran yg diadun tadi ke dalam loyang yg telah disapu minyak atau marjerin.
6. Kukus selama 45 minit di atas api sederhana. Sebelum masukkan loyang tu, pastikan air kukusan panas ye.
7. Lepas masak, biarkan sejuk pada suhu bilik. Pastu bolehlah dipotong dan dihidangkan. Sesuai sangat utk makan petang...

Tea time...jemput makan semua...




Jemput datang lagi ye. Salam sayang utk semua...





Monday, 12 March 2012

Sambal Jawa
****   Resepi dari seberang


Salam untuk semua...bertemu lagi. Baru berkesempatan nak buat entry baru. Bila dah mula cuti sekolah ni ada je urang aroh (kenduri). Semalam baru balik dari kampung dan sempat juga attend kenduri kat Kedah dan kat kampung hubby. Walaupun masa agak singkat, sempat juga meluangkan masa dengan ahli keluarga di Kuala Kurau. Ada buat sambutan harijadi secara kecil-kecilan untuk yg menyambut harijadi bulan Mac termasuklah saya....huhu...dah tambah umur setahun lagi...cepatnya masa berlalu...

Kita tinggalkan dulu intro yg panjang itu. Maklum la...lama tak buat entry....macam gitu le...hehe. Bila dah petang macam ni, terpikir-pikir apa nak masak utk hari ni. Pastu terus teringat kat sambal sedap yg maid dari Jawa pernah masak dulu - Sambal Jawa. Check barang2 semua cukup...cantek sgt la tu. Pastu memerah kepala otak utk ingat balik camne nk masak sebab maid tu dah balik hampir 3 tahun lepas. Masa dia ada pun saya tak pernah buat sambal ni. Cuba punya cuba, bila dah jadi tu, nampak macam ok. Lebih kurang macam yg maid buat dulu. Ini fotonya...


Sambal ni sedap kalau dimakan dengan ikan goreng atau ayam goreng. Kalau disimpan dalam suhu bilik boleh bertahan selama 2 atau 3 hari. Maid Jawa tu yg cakap macam tu...hehe. Seelok-eloknya kalau tak abis makan, simpan dalam fridge je. Bila nak makan, panaskan balik.

Kalau ada yg berminat nak mencuba, ini resepinya:

Bahan-bahan:
3 biji cili merah - dipotong besar-besar
6 - 8 biji cili padi (ikut selera masing-masing, nak lebih pedas, letak banyak)
1 inci terasi (belacan)
1 biji bawang besar (potong memanjang kepada 4 atau 8 bahagian)
Sebiji tomato - potong 4
Minyak untuk menumis
Garam dan gula secukupnya

Cara membuatnya:
1. Panaskan minyak. Apabila telah panas, masukkan cili merah, cili padi, bawang dan belacan. Kacau perlahan-lahan.
2. Setelah bahan di dalam kuali sudah separuh masak, masukkan tomato. Masak lagi sampai bahagian luar bawang nampak garing sedikit dan cili telah masak. Pastikan tomato tidak hancur.
3. Angkat bahan-bahan di atas dan tumbuk ikut kesukaan sendiri. Boleh tumbuk halus atau kasar sedikit. Letakkan garam dan gula secukupnya sebelum bahan-bahan di atas ditumbuk.
 4. Selepas itu masukkan bahan-bahan yg ditumbuk ke dalam kuali tadi sekali lagi. Gunakan baki minyak yang tinggal. Masak bahan-bahan tersebut sekejap sahaja. Ok...dah siap.





Yang ni pulak dessert utk dinner nanti, bubur cha cha dan keledek. Dah lama tak buat. Ya ampun...yg ini pun nak resepi gak ke? U all cari je dalam internet...berlambak-lambak...hehe.

Sehingga bertemu lagi ye. Sudi-sudikanlah utk jenguk blog saya ni. Salam kasih utk semua...




Monday, 20 February 2012

Ikan Masak Taucu (My Style)
Tanggal 21 Februari 2012

Minggu lepas, sepupu saya, Abg Ajak, telah dipanggil oleh Ilahi selepas terlibat dengan dengan kemalangan berhampiran kediamannya di Bukit Jalil. Takziah diucapkan untuk keluarga Abg Ajak, semoga terus tabah meneruskan kehidupan tanpa seseorang yang amat disayangi. Abg Ajak yang saya kenal amat baik pertuturan dan tingkah lakunya. Saya doakan semoga ruhnya ditempatkan di kalangan hamba-hambaNya yang soleh...Amien.

Pemergian mengejut Abg Ajak menginsafkan diri saya betapa benarnya perkataan "kun fa yakun" itu...tidak cepat dan tidak lambat walau sesaat pun. Adakah saya dan kita semua sudah bersedia? Semoga kita semua turut menginsafi hakikat ini dan memperbaiki diri setiap saat dan setiap ketika kerana satu hari nanti kita semua pasti akan dipanggil....

Semalam saya begitu bersemangat nak buat new entry.  Tiba-tiba kena migrain pulak. Terus off notebook dan mata pun 'off' sekali....hehe. Pagi ni Alhamdulillah....ok sikit. Saja nak share ngan u all resepi seterusnya. Chewah...macam banyak benar resepi chef ni...hehe. Dah tu...alang-alang dah suka memasak....kita bubuh je la apa yang boleh...hehe.


Selalu juga saya masak ikan taucu ni. Resepi ni saya tengok-tengok daripada resepi online, pastu buat style sendiri. Kalau ada yang berminat nak mencuba, ini resepinya:

Bahan-bahan:
Seekor ikan pisang (boleh juga guna ikan kembung, pelaling, dll)
Satu labu bawang besar (potong bulat atau separuh bulat)
3 biji bawang merah (dimayang)
3 biji bawang putih (dimayang)
Satu inci halia (hiris memanjang)
Beberapa biji cili padi (buang tangkai)
Beberapa biji cili merah dan hijau (buang biji dan potong besar-besar)
Satu sudu kecil biji sawi
Satu sudu makan taucu
Sedikit cuka, garam dan gula

Cara-caranya:
1. Bersihkan ikan dan cuci dengan air limau nipis. Potong kecil-kecil, letakkan garam dan kunyit. Goreng di dalam minyak panas, pastikan tidak terlalu garing. Ketepikan.
2. Panaskan sedikit minyak. Tumiskan bawang merah, bawang putih dan halia yang telah dihiris. Kemudian masukkan biji sawi.
3. Setelah bawang agak garing, masukkan taucu dan sedikit air. Tunggu sehingga mendidih, lepas tu tambah air (agak-agak cukup untuk tenggelamkan ikan).
4. Masukkan ikan. Lepas tu masukkan bawang besar, cili padi, cili merah dan cili hijau. 
5. Akhir sekali masukkan sedikit cuka, gula dan garam. Kacau sekejap dan... dah siap.

Aritu ada best fren saya ni dok promote kedai pastri dia...Purple Pastry....nanti kita tengok ataupun 'terjah' kedai dia tu. Kalau sempat mungkin saya letak dalam next entry ok...

Terima kasih sebab sudi singgah....sampai jumpa lagi...





Tuesday, 14 February 2012

Rendang Udang







Salam untuk semua...

Masa tengah buat entri masih lagi terbatuk-batuk, hasil daripada jalan-jalan ke tempat sejuk minggu lepas. Gatal betul tekak ni...huhu...

Rendang udang ni saya buat masa hujung minggu, lambat update sebab kada sawat...hehe. Lebih sibuk daripada Pak Menteri...hehe.

Resepi rendang ni saya amik daripada blog Babybatriesyia, saya suka sangat dan ini bukan pertama kali saya buat rendang ni. Kalau ada yang nak mencuba, ini resepinya...

Bahan-bahan:
1/2 kilo udang besar
5 helai daun limau purut
1 cawan santan pekat (campur 1 cawan air)
4 camca besar kerisik
2 camca besar cili kering
1 batang serai - diketuk
Asam keping kecil (optional)

Bahan giling:
4 ulas bawang merah
3 inci halia muda
2 inci lengkuas
2 batang serai
2 camca kecil serbuk kunyit
5-6 biji cili padi
2 helai daun kunyit

Cara menyediakan:
1. Bersihkan udang, dan cuci dengan air limau nipis atau limau kasturi. Kalau ikut cara saya, saya buang kepala, ekor dan garisan hitam di belakang udang. Ikut suka la ye, kalau nak masak ngan kepala pun ok, tapi sebaik-baiknya potong sedikit bahagian depan udang tu dan garisan hitam dibelakangnya. Ketepikan dulu udang yang dibersihkan.
2. Goreng bahan giling sampai naik bau. Tambahkan serbuk cili dan tumis sampai sebati.
3. Masukkan santan, serai yang diketuk serta kerisik. Biar menggelegak sebentar, baru masukkan udang.
4. Kemudian masukkan daun limau purut yang dihiris dan jika suka boleh letakkan asam keping yang kecil. 
5. Biarkan hingga pekat dan kuahnya mengeluarkan minyak. Sedia untuk dihidangkan. Boleh dimakan dengan nasi atau pulut.

Sedap rendang ni. Memang lama sikit nak masak, tapi berbaloi. Selamat mencuba ye...


Friday, 10 February 2012

"
Guangzhou-Shenzhen 2012

Guangzhou (Canton) & Shenzhen, Februari 2012





Salam untuk semua. Sudah lama kada bajumpaan leh...

Sekarang ni saya sedang menyesuaikan diri dengan cuaca negara kita yang agak panas. Dah beberapa hari terbuai dengan cuaca yg sejuk di Guangzhou, China. Sejuknya lebih terasa bila hari hujan. Rasa macam kaku je otot-otot muka menahan kesejukan.

Tima kasih utk boss my hubby yg baik hati sponsor lawatan kami ke Guangzhou dan Shenzhen. Masa hari pertama tu, penerbangan dengan MAS amik masa kira-kira 4 jam utk sampai di Guangzhou. Turun je kat Baiyun Airport tu, dah terasa kesejukan bandar Guangzhou ni. Dari airport tu kami terus dibawa ke kedai makan Muslim, Restoran Abdullah untuk makan tengahari. Di tempat yg sama kami semua menunaikan solat jamak dan qasar.


Beijing Street waktu malam

Lepas makan dan solat, kami dibawa ke Beijing Street, tempat membeli-belah yang terkenal di Guangzhou. Ramai sangat orang shopping kat sini. Macam-macam boleh dapat kat sini. Ada handbag, baju-baju, cenderamata dan macam-macam lagi. Di celah-celah kesibukan jalan ni, jangan lepaskan peluang melihat jalan-jalan lama dinasti China terdahulu yang diletakkan di ruang legar, bertutup dengan lapisan kaca.  Rasanya tarikan yg paling besar ialah barang-barang imitation pelbagai jenama mewah yg mempunyai kualiti tinggi, tetapi boleh didapati dengan harga berpatutan. Lepas makan malam, kami terus dibawa untuk check in di Hotel Euro Asia.

Hari kedua pula kami dibawa ke Sun Yat Sen Memorial Hall, Yue Xiu Park dan Five Ram Statue yg menjadi simbol bandar Guangzhou. Lepas tu kami dibawa ke pusat barang buatan kulit. Berlakulah 'fenomena rambang mata' bila sampai kat tempat macam ni. My hubby beli set manicure yg cantik-cantik utk bagi kat klien. Saya pula...hehe....rahsia...

Sun Yat Sen Memorial Hall
Five Ram Statue

Pastu kami dibawa ke Shang Xia Yu Street, tempat shopping yg juga terkenal di Guangzhou. Kalau nak dibandingkan, Beijing Street lebih menarik daripada tempat shopping ni. 

Shang Xia Yu Street
Petang tu kami dibawa ke masjid tertua di Guangzhou, Masjid Huai Sheng. Bangunan asal masjid ni dibina oleh Saad ibn Abi Waqqas kira-kira 1,300 tahun yg lalu. Menara masjid ni kalau menurut catatan awal pernah dijadikan rumah api.

Masjid Huai Sheng
Hari ketiga kami dibawa ke Shenzhen, antara bandar yg termaju di China. Perjalanan menggunakan bas melalui Gungzhou-Shenzhen Super Highway mengambil masa kira-kira 2 1/2 jam utk sampai. Sepanjang perjalanan boleh didapati kawasan-kawasan perindustrian dan melalui salah satu daripada kawasan pelabuhan antara Guangzhou dan Shenzhen.

Checkpoint sebelum masuk ke Shenzhen
Bila sampai di Shenzhen, kami dibawa ke Mineral Museum. Tourist guide bagitau ini tempat yang wajib dilawati pelancong yg menggunakan khidmat agensi pelancongan. Takde apa sangat, cuma promosi untuk barangan-barangan jed dan moonstone yang mampu menyerap radiasi barangan elektrik di rumah. Tempat lain yang wajib dilawati ialah Splendid of China dan China Folk Culture Village.Di dalam tempat ni kita boleh tengok binaan rumah-rumah pelbagai suku di China dan replika bangunan-bangunan terkenal di China dan replika The Great Wall.

Splendid of China - Oriental Costumes Show. Tak boleh amik gambar kat sini. Tapi dah tak faham bahasa, terlepas juga le. Pastu baru keluar warning tak dibenarkan amik gambar.

Lepas tu, shopping lagi....(orang lain yg shopping, saya tak beli apa-apa pun...huhu). Kali ni rombongan Encik T 'menyerang' Dongmen Street. Banyak shopping mall dan kedai-kedai kecil yang menjual pelbagai barangan. Memang rambang mata sekali lagi....haha. Pilihan pun lebih menarik...ada ahli rombongan yang membeli cenderahati utk klien dan ada juga yang beli handbag...(handbag lagi??).

Lepas shopping dan makan malam, kami dibawa utk check in di Hotel Century Plaza. Hotel ni terletak tidak jauh daripada pusat membeli belah yang besar yang menjual barang-barang berjenama seperti Hermes, Louis Vuitton, Tiffany & Co, Cartier dan jenama-jenama lain. Barang-barang di sini semuanya original, tapi menurut kata tourist guide, harga barangan sama macam harga di Malaysia. Boleh kata semua ahli rombongan turun utk shopping (shopping lagi??) lepas check in. Saya tak turun, dah penat. Kebetulan anak pula kurang sihat. Tabik kat orang yang sanggup 'berembun' di tengah-tengah kota Shenzhen yang amat sejuk itu....
Hari keempat tu pula kami kembali ke Guangzhou. Kali ni kami di bawa ke Canton Herbal Medical Centre. Ni pun tempat yg wajib dilawati. Lepas tu sambung dengan ziarah ke maqam sahabah Nabi yang terbilang, Saad Ibn Abi Waqqas dan menunaikan solat jamak dan qasar di situ. Ada pendapat yang menyatakan maqam Saad Ibn Abi Waqqas berada di Madinah, tapi terdapat catatan sejarah yg menyatakan Saad tidak pulang ke Madinah, memanjangkan masa hijrahnya ke China, kemudian meninggal dan dimaqamkan di Guangzhou. Wallahua'lam...

Pintu masuk ke maqam Saad Ibn Abi Waqqas







Masjid Saad Ibn Abi Waqqas

Lepas tu kami dibawa ke Haizhu Fabric Market utk shopping kain-kain pula...(shopping lagi dan lagi???). Tempat ni memang terkenal sebagai pusat borong dan jualan fabrik terbesar di China Selatan. Di sini boleh didapati sutera China yg boleh didapati dengan harga yg lebih murah. Pelbagai jenis kain dengan kualiti berbeza-beza boleh didapati di sini. Rambang mata tak habis-habis...hehe.

Alhamdulillah, hari kelima kami selamat sampai ke Malaysia dengan muatan yg berlebihan...hehe. Subhanallah...so much to learn, so much to see. Memang Ghuangzhou dan Shenzhen ni layak digelar "heavens for shoppers", tetapi banyak perkara lain yg menarik perhatian saya selain daripada aktiviti shopping yg non-stop itu....hehe.

Beberapa perkara yg mungkin saya boleh kongsikan utk sesiapa yg nak datang ke sini...berdasarkan pengalaman beberapa hari di sini...Jangan terkejut tengok tandas kat Guangzhou dan Shenzhen ni. Ada yang bersih dan tak kurang pula yg kotor dan berbau. Takde paip air dlm bilik tandas dan tiada bidet, dan yg paling teruk, dah la takde air, tisu tandas pun takde. Jadi, sebagai persediaan, bawa la botol mineral water yang kosong setiap kali nak pegi bilik air.

Seperkara lagi, berhati-hati apabila berurusan dengan peniaga di kaki jalan. Jangan sentuh, pegang atau tawar-menawar kalau tiada niat untuk membeli terutamanya barang-barang yg dibuat daripada kulit harimau. Kalau berlaku benda-benda kat atas ni, peniaga macam ni selalunya akan mengugut dengan senjata utk pastikan kita membeli barang-barang tadi (tidak berlaku kepada anggota rombongan, hanya pengalaman tourist guide).

Seboleh-bolehnya, usahakan utk belajar bahasa orang-orang sini. Hokkien dan Kantonis boleh digunakan. Kebanyakan orang di sini tidak pandai berbahasa Inggeris, hatta perkataan 'toilet' pun mereka tak tahu. Antara pengalaman yg agak melucukan, menyuruh anak buat aksi buang air utk tanya arah toilet dan meletakkan tangan di tepi telinga sebagai bahasa isyarat utk lembu, untuk pastikan asal-usul barangan kulit. Dan ada pula yg buat bunyi 'moo' utk pastikan barangan yg nak dibeli dibuat drpd kulit lembu...haha.


Tima kasih sebab sudi melayan entri yg agak panjang ini. Semoga berguna utk mereka yg berhajat bercuti atau makan angin di Guangzhou dan Shenzhen.

Saya berenti di sini dulu. Sampai ketemu lagi  ye...