Saturday 16 November 2013

Rendang Pedas Pucuk Ubi

Salam untuk semua...

Kali ni memaksa diri untuk update blog...haha. Tak mau layan penyakit M tuh... Walau pun maid dah balik negeri, masih berazam kuat untuk memasak dan amik gambar dan muncul la entry baru...hehe. Ada pulak berita yang menjijikkan pasal restoran yg didakwa menggunakan n**** manusia sebagai pelaris. Astaghfirullah...teruknya. Takde pengesahan tentang benda ni, tapi bila dah dengar berita macam ni, alangkah baiknya kalau kita berpeluang untuk masak sendiri. Kita tahu la apa kandungan dalam masakan tu sebab kita sendiri yang masak. Kalau makan kat luar, nasib tak baik, tertelan juga la pelaris yg entah apa-apa tu...Na'uzubillah...semoga Allah menjauhkan kita daripada makanan yg rupanya seperti ini. Jangan lupa baca bismillah dan berdoa semoga makanan yg  akan menjadi darah daging kita tu halal dan bersih.

Bila cakap pasal masak sendiri, ni ada satu cerita tentang lauk untuk orang yg malas masak banyak-banyak....hehe. Dalam masakan ni dah ada sayur dan ikan....sedap makan ngan nasi panas-panas. Resepi ni amik daripada majalah Rasa. Segala bahan-bahan saya modified sikit. Tapi kalau ada yg nak mencuba, ikut la selera masing-masing ye.
  




Rendang Pedas Pucuk Ubi (majalah Rasa)

Bahan-bahan:
500g pucuk ubi
500g santan
100g ikan bilis
2 batang serai - dititik
100g kelapa parut goreng - tumbuk kasar
Garam secukupnya

Bahan kisar:
5 biji cili padi
Sedikit kunyit hidup
1/2 camca teh serbuk lada hitam

 Cara membuatnya:
1. Masukkan bahan kisar ke dalam periuk bersama santan, ikan bilis dan serai.
2. Didihkan campuran tadi, kemudian masukkan pucuk ubi. Kacau rata dan biarkan kering.
3. Masukkan kelapa tumbuk dan perasakan dengan garam.
4. Biarkan masak hingga kering dengan api perlahan.
5. Angkat dan hidangkan.

Sampai di sini dulu ye. Dah ngantuk... Salam ceria untuk semua.....






Wednesday 6 November 2013

Tahun Baru Hijrah 1435

Salam untuk semua....

Selamat menyambut tahun baru hijrah saya ucapkan untuk semua pengunjung blog nih...Apa azam baru untuk tahun baru nih? Nak lebih rajin bekerja, nak buat banyak kerja amal, nak jadi orang yang lebih baik daripada tahun sebelumnya? Mesti ramai yang dah berazam nak buat macam-macam... Saya pulak berazam untuk selalu mengupdate blog nih... Dah lama mengeram...hehe... Biasa la...mood tidak kesampaian...penyakit M tu pun boleh tahan besar jugak...hehe.

Selalu bila ada entri baru, mesti ada resepi. Tapi kali ni, kita nak bercucuk tanam pulak. Nak cerita pasal ulam kegemaran ulun, daun selom. Orang banjar panggil daun silom.

Daun selom mengandungi protein, kalsium, vitamin A, B dan C....wah...bagus kan...tak sia-sia ulun jadi penggemar ulam nih... Boleh dibuat ulam, cicah sambal belacan, sambal kelapa, cencaluk atau budu. Boleh juga dibuat kerabu atau urap, sayur untuk laksa, nasi ulam atau nasi kerabu.

Kalau kat kampung, daun selom ni tumbuh melata di tepi telaga atau tanah lembab dekat dengan sawah. Itu kalau kat kampung la... Kalau sudah menjadi orang-orang urban...(hehe)...boleh tanam daun nih kat dalam pasu. Daun selom ni senang sangat tumbuh kalau ditanam di dalam pasu yang bertanah lembab. Paling mudah, gunakan periuk tanah. Periuk tanah ni takde lubang, jadi air terkumpul kat dalam periuk setiap kali disiram. Jadi, tanahnya sentiasa lembab.

Pastikan air tidak terlalu banyak bertakung. Nanti daun selom akan menjadi keras. Nyamuk pun suka sangat beranak-pinak kat situ.Yang penting, tanahnya mesti lembab. Kalau dah tanam daun selom kat rumah tu, boleh la buat macam-macam. Kata orang, ulam-ulaman ni petua untuk awet muda...hehe.

Sampai jumpa lagi. Selamat bercucuk tanam...:-)
  








Monday 12 August 2013

Raya oh raya...

Salam Aidilfitri...
Selamat bertemu kembali. Sekarang ni mesti ramai yg masih dalam mood raya walau pun dah mula masuk kerja. Kat ofis tu mesti berlambak-lambak orang bawa kuih raya...ada yg terlebih rajin tu bawa lemang & ketupat juga....hehe... Saja lah kan...nak jamu member-member ofis, sedekah namanya tu.
Mesti ramai warga kota dah mula bekerja dan ada juga dengan semangatnya duduk diam-diam kat kampung sebab anak cuti sekolah....hehe.

Dalam entry kali ni, nak share dengan u all pengalaman sebelum dan selepas raya di kuala kurau, tempat kelahiran saya. Kita tengok je lah ye cerita kat bawah ni...

Tapai oh tapai

Inilah dia tapai umak (my mum) yg sangat popular masa musim raya macam ni. Ada brand tau....Tapai Mak Wan...hehe. Selalunya umak guna daun pisang...tapi tahun ni dah berubah mood....guna bekas plastik yg kecik ni je. Don't worry...rasa tak terjejas. Masih macam Tapai Mak Wan macam tahun-tahun sebelumnya...hehe. Banyak tempahan yg umak dapat tahun ni. Berkilo-kilo beras pulut digunakan, tambah dengan ragi untuk penapaian. Yang selalu jadi mangsa untuk tolong umak ialah Abah dan adikku Achik Nip. Yang lain-lain tu...selamat....hehe. Ada juga sorang sepupu ni sanggup belikan beras pulut dan bekas plastik tu sebab katanya anak dia suka sangat makan tapai nih. Bapaknya tak suka ke??? Hehe... Jangan marah ye, Joe.

Tapai umak yg marvellous....
Tapai Mak Wan warnanya hijau. Ni la namanya tapai orang banjar. Warna hijau tu sebenarnya jus yg di ekstrak (hehe...) daripada daun asin-asin atau daun pucuk manis. Banjar style la macam tu. Pastu tu kalau nak buat ni kan, banyak pantang larangnya.... Antaranya tak dibenarkan bercakap banyak masa buat tapai, takut nanti tapai jadi masam. Perempuan yg dalam period dilarang untuk buat tapai, takut tapai jadi kemerah-merahan...hehe. Itu je pantang larang yg saya ingat...leceh juga nak buat tapai nih. Alhamdulillah, umak yg mempunyai pengalaman bertahun-tahun di dalam membuat tapai, berjaya menghasilkan tapai yg manis. Saya takde resepi tapai nih dan kalau nak minta resepi kat Mak Wan pun belum tentu jadi sebab Mak Wan takde ratio dalam membuat tapai ni, dia agak-agak je...huhu....

Pra Raya

Beberapa hari sebelum raya tu, saya dengan bersemangatnya pegi ke pekan/pasar Batu 5 dekat Kuala Kurau. Kebanyakan orang di sini orang Banjar. Misi terbesar ialah mencari kuih kegemaran, Kuih Makmur orang Banjar. Kuih makmur ni berinti kurma. Yang kita selalu makan tu berinti kacang. Tapi nampaknya, tahun ni kurang bernasib baik sebab kuih makmur tu dah sold out....huhu. InsyaAllah, lain kali boleh cari lagi.


Kuih kalakatar ada dijual di bahagian hadapan pasar basah Batu 5. Juadah untuk berbuka puasa yg sangat digemari. Tapi biasa la, kalau orang nak jual, tepungnya letak lebih. Kalau nak lebih rasa kelapa muda, jom cuba resepi kalakatar nih....


Ni pulak kek lapis orang Banjar Parit Abas. Ni pun antara yang feberet untuk musim perayaan nih. Ni pun umak dapat sebab tuan kek kata ada lebih. Tak menang tangan, kata tuan kek. Tak berani la nak bagi no tepon makcik yg buat kek ni...nanti habis blog ni kena bom ngan makcik tu!!!


Best betul kek makcik nih. Tekstur kek cukup lembut, ada pula lapisan jem nanas tu, sedapnya...masih terasa-rasa kesedapannya.... Tak heran la makcik ni tak menang tangan memenuhi tempahan. Takpe makcik, saya boleh tolong...tolong makan....hehe. Rasa macam nak serbu je rumah makcik ni, minta resepi. Kalau nak bubuh resepi dalam blog nih, resepi tu akan jadi resepi berbayar....hehe....


Jalan-jalan Raya

Alhamdulillah, tahun ni berpeluang berjalan-jalan ke Seberang Perai & Pulau Pinang. Sempat juga beraya di rumah Makcik Ani di Bagan Serai, menjenguk Makteh & keluarga di Sitiawan, dan terima kasih juga untuk Makcik Ita yg sudi melayan kami walau pun mengantuk selepas bertugas shift malam. Dan juga doa semoga diberi kesembuhan dan kesihatan untuk Paklong Sahuri yg masuk ke wad di Kuantan dan Makngah Salbiah yg dimasukkan ke wad di Puchong. Semoga Allah memberi kesembuhan....Amien.

Terima kasih kerana berkunjung. Eid Mubarak untuk semua. Maaf zahir dan batin. Kullu 'am wa antum bi khair.

Taqqabbalallahu minna wa minkum.











Friday 2 August 2013

Salam Lebaran 1434 H



Salam lebaran...eid mubarak diucapkan untuk semua pengunjung blog ini.


Kullu 'am wa antum bi khair...

 “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangan (hari terakhir Ramadan 30 hari) dan kamu mengagungkan Allah (bertakbir raya) atas petunjuk-Nya yang dianugerahkan kepada kamu agar kamu menjadi orang-orang yang bersyukur.” - ayat 185 surah al-Baqarah


Sunday 21 July 2013

Daging Masak Dendeng

Salam...

Selamat berpuasa untuk semua muslimin dan muslimat.........

Ni siaran ulangan utk daging masak dendeng...hehe. Saya & hubby suka makan daging dendeng ni. Buat hidangan masa berbuka dan sahur. Sedap makan dengan nasi, nak makan dengan roti pun boleh... Kalau ada yg berminat nak mencuba masakan ni, cari resepinya di sini

Ramadhan Mubarak. Salam ceria utk semua....

Wednesday 10 July 2013

Kuih Cara Manis

Salam untuk semua...

Dialog bulan puasa antara anak dan ibu...

Mama: Abang nak makan apa untuk sahur esok?

Anak: Nak makan maggi boleh tak?

Mama: Hah...maggi????

Ramadhan datang lagi. Mesti para ibu sibuk memikirkan apa menu yg nak dimasak terutama sekali nak memujuk anak-anak yg baru belajar berpuasa macam saya ni...hehe. Kena-kena pulak anak tu selamba je tanya boleh tak dia  makan maggi!!!. Aduh...anak-anak. Tercabar la azam mama nak sediakan makanan yg sihat-sihat untuk keluarga sepanjang bulan Ramadhan nih...

Sempena bulan Ramadhan nih, entry saya ni akan dipenuhi dengan resepi untuk berbuka puasa (iftar). Iftar je tau...kalau ada sesat resepi sahur tu...rezeki u all la...hehe. Rasa macam nak masak juga resepi banjar tuh, insyaAllah.

Di dalam kesibukan kita bekerja dan menguruskan keluarga, cuba ambil sedikit masa untuk tadarus al Quran walaupun sedikit. Bukan senang nak dapat pahala besar macam bulan puasa nih. Mudah-mudahan dipermudahkan. Kalau tak sempat sangat, berzikir sambil buat kerja atau masa pandu kereta (contohnya lah ye).

Dalam entry kali ni, nak share dengan u all resepi kuih cara manis. Sesuai dijadikan juadah berbuka puasa.


Cara Manis

Bahan-bahan:
300g tepung gandum
600ml santan sederhana pekat/susu segar
3 camca besar jus pandan
2 biji telur
1 1/2 camca teh garam
Pewarna hijau
Sedikit gula untuk dibuat inti

Cara membuatnya:
1. Campurkan tepung, santan, telur dan garam. Kacau rata. Kemudian masukkan jus pandan (boleh ganti dengan perasa pandan, tapi jus ori lagi best) dan sedikit pewarna hijau. Tapiskan jika adunan berketul.
2. Panaskan acuan, lengser dengan minyak. (Saya selalu guna berus pandan untuk sapukan minyak. Potong daun pandan kepada 3 atau 4 potongan, kumpulkan dan ikat salah satu hujungnya. Satu hujung lagi dipotong-potong sedikit menyerupai berus).
3. Lepas minyak tu dah panas, tuang adunan perlahan-lahan. Tunggu sekejap, lepas tu masukkan gula pasir (ikut suka nak banyak mana dan ikut saiz kuih.. Saya letak 1/2 sudu teh...jangan letak banyak-banyak ye...nanti diabetes...hehe...). Jangan cepat sangat letak gula dalam kuih, nanti kuih bocor,....habis kuih dah tak manis.....hai...macam-macam la....abih tu, dah nak makan sedap-sedap kan....wajib la bersabar....hehe.


Setakat ini dulu ye. Nantikan entry yg lain tau. Selamat berpuasa untuk semua. Natijah kepada dialog di atas ialah....anak saya memang makan maggi untuk sahur tuh...huhu

Sampai jumpa lagi. Salam Ramadhan...

Ramadhan Mubarak 1434 H

Courtesy of allinwallpapers.blogspot.com

Salam Ramadhan buat semua pengunjung blog ulunbanjarese. Bersama-sama kita tingkatkan dan beristiqamah dengan amalan kebaikan sepanjang bulan yg mulia, insyaAllah.

"Barangsiapa yg berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan berjaga-jaga serta keikhlasan, maka diampunkan segala dosanya yg terdahulu" - Hadith sahih riwayat Bukhari dan Ibnu Majah

"Apabila tibanya bulan Ramadhan, maka dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka serta dibelenggu para syaitan" - Hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim

Sunday 2 June 2013

Jalan-jalan cuti sekolah

Salam untuk semua...

Bertemu untuk sekian kalinya. Lama juga tak update blog....penyakit 'M' besar sangat...hehe. Dah seminggu cuti sekolah berlalu. Hujung minggu lepas sempat juga bawa anak-anak berjalan. Sayang, anak-anak kurang sihat. Bila bawa berjalan, semacam je moodnya. Nak buat macam mana, time tu je 'big boss' boleh amik cuti...huhu. Cuacanya...huh...panas betul. Anyway...Alhamdulillah...dapat jalan-jalan lagi. Rami juga bejalanan....

Kali ni takde Legoland atau pun taman tema Hello Kitty. Bermalam di Johor Bahru je. Cuma jalan-jalan dan masa berkualiti untuk anak-anak...hehe.  Kesian kat cik abang hubby...jadi drebar kami, banyak kali berenti sebab ngantuk sangat. Guring di R&R...hehe.

Ni foto-foto yang sempat diambil masa pegi JB.

Singgahan pertama ialah di Johor Premium Outlet (JPO), Kulaijaya. Kat sini boleh cari barang-2 berjenama untuk dewasa & kanak-kanak dengan harga diskaun. Tapi tak semua outlet bagi diskaun tinggi. Outlet macam Coach nampak tak banyak diskaun...siap kena beratur tunggu giliran. Eksklusif la tuu...hehe. Beli baju dan kasut untuk anak-anak je kat sini. Barang untuk daddy takde...takde sebab takde saiz...hehe. Bila masuk kedai Adidas, ada pulak kasutnya dibuat daripada kulit khinzir...ni fotonya...

Lepas pegi JPO, kami terus ke JB, check in di Hotel Zon Regency. Ok la hotel ni. Cuma macam nak kena tawaf sikit, baru sampai ke bilik. Kena guna lif paling hujung. Lif yg dekat dengan bilik hotel tak boleh digunakan. Takde masalah...asalkan dapat melihat pemandangan laut itu...

Ni gambar pintu masuk bilik hotel, dengan bunga orkid yg cantik di atas meja console. 


Pemandangan dari kaca tingkap hotel. Selat Tebrau dan Tambak Johor,...Singapura nun di sebelah sana. Boleh nampak kereta bergerak perlahan, jalan sesak masa orang balik kerja.

Ni pemandangan di bahagian bawah hotel, bangunan di sekitar Jalan Stulang. Teringat pemandangan di Persiaran Gurney masa kat Penang dulu...

Tak lama lepas menikmati pemandangan laut tu, datang la pemandangan yg menakutkan ini. Awan tebal dan gelap mula menyelubungi...tanda-tanda hujan akan turun. 
Bila tengok petang tu nak hujan, kami tak rancang nak jalan jauh-jauh. Aktiviti dekat dengan hotel je. Hujan tak banyak mana pun. Awannya saja yg menakutkan...hehe. Kami pun turun ke kawasan bawah hotel, tengok kedai barangan bebas cukai. Tak happening sangat la tempat nih... Sekali lagi, cubaan daddy untuk untuk cari baju tak berjaya sebab...takde saiz...hehe...

Untuk dinner pula, kami pegi ke Restoran Sayam. Dekat dengan hotel, jalan ke depan sikit je. Ok la hidangan kat sini. Tak boleh nak enjoy sangat sebab badan dah penat & mata pun dah berat.

Pagi esoknya, breakfast kat hotel sambil meninjau-ninjau pulau Singapura. Nampak jelas dari tingkap kaca kafe hotel. Kali ni takde rezeki nak ke sana. Tak sempat renew passport anak-anak. Takpe...anak-anak pun kurang sihat, tak larat nak jalan banyak-2. Dok merungut macam-macam...Sempat juga tu terjun kolam walau pun tak sihat...hehe.

Check out hotel dalam pukul 11 .30 pagi. Sempat juga tengok orang berpusu-pusu untuk ujibakat Akademi Fantasia. Alhamdulillah...walau pun singkat je masa kat JB nih...kami satu family happy je...Sebelum balik tu, sempat juga menjenguk Danga Bay. Atas nasihat kawan-2 kami tak jadi nak check in kat sini. Memang takde apa-2 pun. Tengah buat renovation, kena tunggu siap nanti la, boleh datang lagi....hehe. Sempat juga mengabdikan pemandangan di Danga Bay. Boleh nampak pulau Singapura di sebelah sana.


Kemudian kami ke destinasi seterusnya, kampung adik ipar di Batu Berendam, Melaka. Ada kenduri kahwin adik kepada adik iparku tuh...tahniah dan selamat pengantin baru untuk Nurul Athirah & Mohd Nizam, semoga berbahagia hingga ke syurga...insyaAllah...Untuk Nurul, Irna & family, terima kasih atas jemputan. Sempat juga mencubit-cubit pipi budak comel tuh...anak saudaraku, Irham Rifqi....





Destinasi seterusnya...jeng jeng jeng....Nilai 3...haha (huh!! macam takde tempat lain nak pegi...). Alang-2 dah lalu tu kan...hehe...maka Rombongan Cik Daddy pun membeli-belah la kat sini. Beli benda kecik-kecik je. Tak sempat nak borong & angkat semua....kereta kecik...hehe....







 

 Nilai 3 tu kira penutup untuk program jalan-jalan tu...hehe. Alhamdulillah...anak-anak happy sangat sebab boleh jalan-jalan. Terima kasih untuk cik abang hubby yang rajin melayan karenah anak-anak. InsyaAllah, kalau ada rezeki, mudah-mudahan kami satu family boleh jalan-jalan lagi.

Itulah cerita-ceriti semasa cuti sekolah ni. Nasib baik anak-anak sakit masa cuti sekolah. Tak payah la amik MC dan takde ketinggalan pelajaran. Semoga anak-anak mama sihat & kuat semasa permulaan semester persekolahan yang baru...insyaAllah.

Selamat bercuti untuk anak-anak semua, dan untuk ibu bapa yg amik cuti juga...hehe. Untuk anak-anak, walau pun bercuti, kerja sekolah kena siapkan ye....

Sampai berjumpa lagi. Salam ceria & senyum selalu...






  

Monday 6 May 2013

Chicken chop (black pepper)

PRU13 dan harapan rakyat.........

~ Gambar hiasan.....pinjam...hehe ~ (Jadi kahwin tak nie?!!)  
Dah lama juga tak ketuk-ketuk laptop, update entry. Alhamdulillah...selesai sudah PRU13, setelah 5 tahun menanti. Seronok tengok orang berkempen, saya tengok dari jauh saja. Nampak meriah sangat dengan perang poster, replika pelik-pelik, masing-masing dengan manifesto sendiri. Sumbangan kecil saya cuma mengundi di kampung hehe.... Harap-harap mereka yg berhempas pulas untuk Pru13 ni berpuashati dgn sumbangan masing-masing. Pagi tadi bila semua dah selesai, senyap sunyi je....dah terbongkang kepenatan agaknya...hehe. Tahniah untuk mereka yg telah menunaikan tanggungjawab untuk mengundi dan tahniah untuk semua yg bekerja keras untuk parti masing-masing. Apa sahaja keputusannya, kena terima dengan hati yg terbuka. Yang penting, kita ada hak untuk memilih berdasarkan kepada prinsip-prinsip yg kita percaya, dan yg terpenting sekali...undi kita adalah rahsia.

Cukup la dulu cite pasal mengundi ni. Dalam entry kali ni, saya nak share resepi daripada aeeda78, myresepi, Chicken Chop. Kalau ada yg nak cuba, ini resepinya...

Chicken chop

Bahan-bahan (untuk 2 orang):

Untuk diperap:
2 peha ayam (boleh juga kalau nak buang tulang)
2 ulas bawang putih (dicincang)
1 cm halia (dicincang)
1/2 camca teh serbuk lada hitam
2 camca besar sos cili
1 camca besar sos tomato
1 camca besar sos Lea & Perrins (sos Worcester)
1 camca besar kicap manis
1 camca besar kicap masin
1 camca besar sos tiram
1 camca besar madu
Garam secukup rasa

Sos Black Pepper
1/2 botol sos lada hitam
2 atau 3 camca besar sos tiram
3 atau 4 biji cendawan butang (cincang)
1/2 biji bawang besar (cincang)
Garam dan gula secukupnya

Cara membuatnya:
1. Gaul ayam dengan bahan perapan. Biar semalaman.
2. Selepas diperap, goreng ayam dalam minyak yang panas. Balik-balikkan, seelok-eloknya periuk ditutup sekejap.
3. Lebihan bahan perapan boleh dijadikan sos untuk dituang ke atas ayam yang telah digoreng.
4. Boleh juga dihidangkan dengan sos lada hitam. Masak bahan-bahan untuk sos selama 1 minit. Tambahkan sedikit air, garam dan gula.

Ok lah. Masa untuk berehat. Penat balik dari kampung masih terasa. Sampai jumpa lagi ye... Salam ceria untuk semua. 


Sunday 7 April 2013

Agar-agar Roti

Salam untuk semua...

Lama juga saya tak update blog. Minggu lepas hubby masuk wad, disahkan mendapat jangkitan kuman kat paru-paru. Sibuk menjaga hubby dan menguruskan anak-anak, memang tak sempat nak update blog. anak-anak sibuk tanya, bila daddy nak keluar dari hospital. Alhamdulillah, lepas 3 hari, hubby dah dibenarkan keluar hospital. Terima kasih untuk yang sudi meluangkan masa datang melawat hubby di Damansara Specialist. Terima kasih juga untuk doa saudara dan rakan-rakan supaya hubby cepat sembuh. Alhamdulillah, leganya bila dengar hubby dah disahkan bebas daripada jangkitan kuman masa buat pemeriksaan susulan. Sekarang cuma tinggal batuk sikit-sikit. Semoga daddy sentiasa diberikan kesihatan dan kesejahteraan...Amien. 




Hujung minggu pula, Kak Fazidah & keluarga datang menziarah. Masak biasa-biasa aje untuk makan tengahari...nothing to shout....hehe. Antara lauknya, ayam masak tomato, ikan bilis tumis  asam dan sayur. Sempat juga mengukus apam mekar...dah lama tak buat...takut nanti hilang touch...hehe..... Budak-budak la paling suka makan apam ni. Mak budak pun suka makan...hehe.


 Ok la...sebelum saya merepek lebih panjang...hehe....kali ni saya nak kongsi resepi Agar-agar Roti yang saya amik daripada laman MyResepi (mass80). Rasa macam agar-agar kastard tapi lebih padat dan terasa juga rotinya tu. Kalau nak mencuba, kat bawah ni ada resepinya.



Agar-agar Roti
Bahan-bahannya:
1 peket agar-agar bertali - rendam sehingga lembut
6 cawan air
200g gula pasir
1 tin susu cair
6 keping roti
1 biji telur
3 jenis pewarna
1 camca teh esen vanila

Cara membuatnya:
1. Roti dicarik-carik dan dicampurkan dengan susu cair dan telur. Apabila roti telah kembang, kisar campuran tadi hingga halus.
 2. Satukan agar-agar dengan 6 cawan air dam masak sampai agar-agar hancur. Tapis dan masukkan semula ke dalam periuk.
3. Masukkan gula. Apabila gula telah sebati, masukkan bahan yang dikisar tadi. 
4. Kacau adunan agar-agar sekejap dengan api perlahan sehingga mendidih sedikit. Angkat dari api. 
5. Bahagi adunan kepada 3 bahagian dan warnakan setiap bahagian dan kacau rata.
6. Tuang setiap bahagian warna secara berselang-seli, bermula daripada bahagian tengah loyang. Saya buat enam kali tuang.
7. Boleh disejukkan sebelum dipotong.

Sampai di sini dulu ye. Selamat mencuba. Have a nice day!

Monday 25 March 2013

Sup Tulang


Salam untuk semua....

Alhamdulillah, sudah beberapa bulan saya mengikuti kelas iqra' dan al quran bersama rakan-rakan di Seksyen 9, Kota Damansara. Sebelum ni bila baca al Quran tu, syok sendiri je...panjang pendek bacaan dan tajwid tu ada je yang tak betul. Bila ikut kelas ni, Alhamdulillah, banyak juga improvement....tapi itu cuma sebahagian kecil daripada ilmu Allah yang teramat luas...banyak lagi yang perlu dipelajari. Semoga Allah terus memberi kekuatan dan semangat untuk saya memperbaiki pembacaan al Quran....Amien.

Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan....



Dalam entry kali, ni saya nak kongsi resepi istimewa daripada MakNgah Salabiah, resepi sup tulang. Alhamdulillah, hasilnya memuaskan...hehe. Berselera betul hubby makan... tambah pula combine dengan daging dendeng...suka sangat dia. Anak-anak pun enjoy menikmati sup tulang ni...Terima kasih ye, MakNgah sebab sudi berkongsi air tangan. Terima kasih daun keladi, lain kali nak minta resepi lagi...hehe. Kat sini saya sertakan resepinya...


Sup Tulang

Bahan-bahannya:
1kg tulang lembu - dicuci bersih
2 cm halia*
Sedikit bawang merah* - dikisar
Sedikit halia dan bawang merah - dihiris memanjang & dimayang
Sedikit kulit kayu manis*
3 biji bunga lawang*
3 biji bunga cengkih*
3 biji buah pelaga* - rempah tumisan
1 peket rempah sup
10-15 biji lada hitam - ditumbuk kasar
3 biji ubi kentang
10 biji bawang merah - dimayang dan digoreng untuk tabur
Daun bawang & daun sup, dimayang
Garam dan serbuk perasa (jika suka) secukupnya

Cara membuatnya:
1. Panaskan minyak. Tumis potongan bawang merah dan halia, serta bawang merah dan halia yang telah dikisar. Masukkan pula rempah tumisan.
2. Tumis sampai naik bau, kemudian masukkan rempah sup serbuk.
3. Tumis sampai naik minyak, kemudian masukkan air secukupnya.
4. Tunggu sehingga kuah sup mendidih sedikit, kemudian masukkan tulang.
5. Setelah tulang empuk, masukkan ubi kentang (saya tambah lobak merah).
6. Setelah kentang empuk, masukkan garam dan serbuk perasa. Saya tambah kiub daging lembu ganti serbuk perasa. Biarkan seketika, kemudian tutup api dan hidangkan.

Selamat mencuba. Sehingga bertemu lagi. Salam ceria....

Friday 22 March 2013

Ikan Bilis Tumis Asam

Salam untuk semua....

Dalam entry kali ni, saya nak share aktiviti hujung minggu dengan u all. Masa tu ada buat family gathering kecil-kecilan. Buat dekat umah adik di Bandar Putera Mahkota. Seronok jumpa 'budak kecik' yang sangat keletah.
Sebelum pegi tu, tiba-tiba je teringat makanan feberet adikku itu...laksa penang. Pastu ada buat mi goreng (sebab hubby tak suka makan laksa...huhu) dan puding koktel. Yang ni pun feberet adikku juga... Maka berangkut la ke rumah adikku itu....

Si comel Irham ni pulak terjenguk-jenguk kat peti harta karun Angah tu...tu semua feberet daddy Irham...kalau jadi feberet Irham pula lepas ni, kena la masak banyak lagi....hehe.... Mummy Irna kena 'like' ni...haha....

Apa pun, Alhamdulillah...dapat berjumpa adik beradik, walau pun sibuk dengan komitmen masing-masing. Seronoknya berkumpul, bertanya khabar, duduk bersembang-sembang, makan-makan... InsyaAllah semoga pertemuan keluarga seperti ini berlaku lebih kerap. Geram tengok budak comel tu...dah makin besar dan makin bijak....

Itu cerita pasal feberet adikku. Ini pula ialah feberet hubby...ikan bilis tumis. Resepi amik daripada majalah Rasa. Sesekali makan ikan bilis tumis macam ni, sedap juga. Selalunya, bila buat je lauk ni, habis hubby bantai licin...hehe. 


Kalau ada yg nak mencuba, ini resepinya...

Ikan Bilis Tumis Asam
Bahan-bahan:
50g ikan bilis - digoreng
2 biji bawang merah*
2 biji bawang putih*
Sedikit halia* - dikisar
1 biji cili merah#
1 biji cili hijau#
1 biji bawang besar# - di hiris
125ml air asam jawa
Garam dan gula secukup rasa

Cara membuatnya:
1. Panaskan minyak. Tumis bahan yg telah dikisar. Tumis sampai naik bau.
2. Masukkan air asam. Kacau sampai mendidih.
3. Masukkan bawang merah, cili merah, cili hijau dan ikan bilis.Gaul sampai sebati.
4. Masukkan garam dan gula.
5. Sedia dihidangkan.

Selamat mencuba ye. Sampai jumpa lagi. Salam ceria....

Thursday 14 March 2013

Kuih Kaswi

Salam untuk semua....

Alhamdulillah...minggu lepas sempat juga amik masa untuk balik ke Kuala Kurau. Anak-anak rindu sangat dekat atuk dan wawa. Bila sampai je kat jambatan Seberang Gula-KK tu, anak-anak terus jerit, "yey...kita dah nak sampai...". Excited betul nak balik umah atuk. Yelah, nanti atuk bawa pegi kedai, beli gula-gula dan jajan...terror betul anak2 mama paw atuk...hehe...


Ni rakaman video amatur...jambatan Seberang Gula - Kuala Kurau. Boleh nampak tempat penternakan kerang dan kampung nelayan. Pemandangan yg sungguh familiar... Abaikanlah suara kat background tu ye...tengah berlatih utk karaoke kot...hehe.

Kita tinggalkan dulu 'suara emas' itu, kat entry ni saya nak berkongsi resepi Kuih Kaswi yg selalu saya buat. Ada macam-macam style orang buat kuih ni. Tapi saya rasa ok je dengan resepi yg saya dapat ni. Takde guna gula putih, cuma gula merah sahaja....



Kuih Kaswi/ Kasui
Resepi daripada buku masakan

Bahan-bahan:
240g gula merah + 500ml air
120g tepung beras
60g tepung ubi
60g tepung gandum
250ml santan - dari 1/2 biji kelapa
2 camca teh air kapur cair
200g kelapa parut putih*
1/2 camca teh garam* digaul

Cara membuatnya:
1. Masak gula merah dengan air hingga larut. Tapiskan. Biarkan sejuk.
2. Satukan air gula merah, semua jenis tepung, air kapur dan santan hingga sebati. Tapiskan.
3. Tuang ke dalam loyang atau acuan kecil yang telah dilengserkan minyak terlebih dahulu. Kukus sampai masak (lebih kurang dalam 30 minit).
4. Setelah kuih sejuk, barulah boleh dipotong atau dikeluarkan. Hidangkan dengan kelapa parut.

Selamat mencuba. Sampai jumpa lagi............Salam ceria!!!

Sunday 17 February 2013

Nasi tomato

Salam untuk semua...

Beberapa hari lepas, bandar Chelyabinsk, sebuah bandar di Russia telah terkena serpihan meteor.  Letupan meteor tu mencederakan kira-kira 1,000 orang penduduk bandar tu. Bukan sebab kena tembak dengan meteor tu, tapi sebab terkena serpihan daripada tingkap kaca yg pecah kesan daripada letupan meteor tu.


Gerun je dengar kisah macam ni... Dianggarkan besar batu meteor tu dalam diameter ialah 17 meter. Itu pun setelah sebahagiannya terbakar di udara!! Allah Maha Berkuasa, menjadikan fitrah alam sebegitu sempurna. Kalau tidak, entah besar mana la batu yg jatuh tu...mungkin juga satu negara boleh hilang dari peta dunia!! Na'uzubillah.... 

Kita tinggalkan dulu kisah meteor ni. Alhamdulillah...siang tadi masa jumpa doktor, doktor dah confirm saya dah betul-betul sihat. Baru la bersemangat nak update blog...hehe. Kalau tak, macam tension je...hari-hari kena makan ubat...rasa terawang-awang...barulah tahu nikmat kesihatan yg Allah bagi tu....Alhamdulillah, hanya Dia yg memberi kesembuhan....

Dalam entry kali ni, nak share dengan u all resepi Nasi Tomato dan Ayam Masak Merah. Resepi asal daripada blog Kak Hanieliza. Kalau ada yg nak mencuba, kat sini ada saya sertakan resepinya...enjoy...



Nasi Tomato

Bahan-bahan:
5 cawan beras basmathi (cuci & rendam selama 20 minit, toskan)
1/2 cawan susu cair
4 biji tomato, cincang halus (saya guna 2 biji tomato je...)
1/2 cawan sos tomato
2 camb mentega
5 camca besar minyak masak
1 helai daun pandan, disimpul
5 ulas bawang merah, dihiris
3 ulas bawang putih, dihiris
1 inci halia, dihiris halus atau diketuk
3 biji buah pelaga*
1 biji bunga lawang*
3 biji bunga cengkih*
1 batang kayu manis* rempah tumis
Air, ikut sukatan beras
Garam secukup rasa

Bahan hiasan:
Kacang pis
Hirisan daun bawang/sup
Bawang goreng

Cara membuatnya:
1. Panaskan minyak dan mentega. Bila mentega cair, tumis rempah tumis, bawang putih, bawang merah, halia dan daun pandan. Tumis sampai wangi.
2. Masukkan tomato cincang dan tomato sos. Kacau dan biar masak.
3. Tuang susu dan air, masak sampai mendidih.
4. Masukkan beras dan garam (dalam anggaran 3/4 cawan teh). Gaul beras sampai rata. Masak seperti biasa. Balik-balikan nasi sehingga kering airnya. Jangan terlalu kerap mengacau nasi, nanti beras patah. Saya guna periuk nasi untuk menumis dan memasak nasi. Boleh juga masak di atas dapur, kemudian pindahkan ke periuk nasi.
5. Hias dengan hirisan daun sup, daun bawang, kacang pis dan bawang goreng.


Ayam Masak Merah

Bahan-bahan:
1 ekor ayam, dibersihkan. Seelok-eloknya cuci dengan air tepung gandum. Gaul dengan garam dan kunyit, goreng 2/3 masak.

10 tangkai cili kering*
2cm halia*
4 ulas bawang putih*
2 labu bawang besar* dikisar

1 cawan sos tomato
2 biji tomato, dipotong dadu (saya guna sebiji je...)

Bahan hiasan:
1 biji bawang besar, potong bulat
Kacang pis secukupnya

Cara membuatnya:
1. Tumis bahan kisar sehingga naik bau. Kemudian masukkan buah tomato dan sos tomato. Saya kurangkan sikit sukatan sos tomato sebab tak berapa suka kuah masam (saya guna kurang daripada 1 cawan). Agak-agak jelah ye...masak-masak ni memang macam tu...kena ikut citarasa sendiri...sebab kita sendiri yg nak makan...hehe).
2. Masukkan ayam yang telah digoreng tadi. Masak lagi sampai kuahnya menjadi pekat. Kacau sekali-sekala.
3. Selepas kuah sudah pekat, masukkan bahan-bahan hiasan. Biarkan dalam 1 atau 2 minit. Kemudian padamkan api.


Selamat mencuba ye. Kalau ada yg rajin masak-masak tu, meh le letak feedback kat sini ok. Sampai jumpa lagi. Salam ceria....





Thursday 14 February 2013

Daging Dendeng

Entry pertama untuk tahun 2013....

Salam untuk semua...

Januari 2013 sudah pun berlalu...sekarang baru la ada masa nak ketuk-ketuk laptop nih...huhu. Sibuk uruskan hal anak-anak masuk sekolah. Masa tu juga la badan nak sakit....Alhamdulillah....dh sihat pun. Takpe...ini semua ujian daripada Allah. Tahun ni my daughter, Aliyah Munawwarah dah masuk Darjah 1. Alhamdulillah, takde masalah dan tak meragam sebab dah masuk tadika dari usia 4 tahun. Saya berdoa semoga anak-anak saya ni diterangkan hati dalam menerima ilmu dan menjadi orang yang berguna suatu masa nanti....Amien.

Dah lama tak buat entry ni, dah banyak juga yg termiss...dan berlambak-lambak juga resepi nak share dengan u all...hehe. Sebelum tu nak share dulu beberapa perkara sebelum pegi ke segmen resepi tuh.

Pertamanya, nak share tentang sambutan Maulidur Rasul hujung bulan Januari lepas. Banyak orang buat sambutan dengan berarak membawa banner mengagungkan kelahiran besar, Nabi Muhammad sallahu alaihi wa sallam, walau pun terdapat perbezaan pendapat tentang boleh atau tidaknya perkara sebegini dibuat. Tapi bukan itu yg kita nak bincangkan kat sini dan saya kurang arif  juga nak bercakap pasal ni. Apa yg dapat saya kongsikan di sini ialah pengisian daripada usrah saya yg membincangkan tentang sifat Rasulullah sallahu alaihi wa sallam yg suka terlebih dahulu memberi salam, terlebih dahulu mnghulurkan tangan untuk bersalaman, dan memegang erat tangan para sahabat ketika bersalaman. Nabi kita itu 'warm person'....disenangi bila berada di mana-mana...'approachable', sentiasa mahu mendengar dan membantu. Teringat diri sendiri yg 'kurang mesra' (hehe...) bila jumpa orang untuk kali pertama. Dah warm up sikit baru la ok. Kena berubah ni....InsyaAllah...marilah kita bersama-sama menghargai orang-orang di sekeliling kita...ibu bapa kita, keluarga kita, saudara kita, sahabat kita, kenalan kita....ikutlah sunnah Rasul sallahu alaihi wa sallam....mungkin dari situ pintu rahmat akan terbuka....insyaAllah....

Perayaan tahun baru Cina baru saja berlalu. Sempat juga bawa anak-anak tengok tarian singa kat rumah jiran. Pegi sekejap je....anak komplen bising sangat. Kalau tak bingit telinga, bukan tarian singa namanya... Tu belum tambah bunyi mercun yg besar bagak tu....habis bising satu qaryah....hehe...Kalau tahun2 lepas selalu beli limau mandarin satu kodi, tahun ni tak boleh buat macam tu...doktor dah bagi warning, tak boleh makan citrus dan yg sewaktu dengannya. Cik abe pun dok tumpang bising sekali....nampak limau je...jeling2 je lah...huk huk...

Ok lah, kita lupakan dulu kekiciwaan itu... Kali ni nak share resepi masakan kegemaran hubbyku, Daging Dendeng. Resepi ni diambil daripada blog Mat Gebu, hasilnya memang sedap. Walau pun rupanya hitam legam, rasa sekali mesti nak lagi....hehe. 


Daging Dendeng

Bahan-bahan:
1 kilo daging
500g bawang merah (boleh juga dikurangkan)
20 - 25 tangkai cili kering*
20 biji bawang merah* (dikisar)
1 cawan gula melaka
1/4 cawan jus asam jawa pekat
3 camca besar kicap pekat manis
Garam secukup rasa

Cara membuatnya:
1. Daging dipotong besar, rebus sampai lembut, toskan dan hiris nipis. Kemudian tumbuk hirisan daging tadi sampai leper. Ketepikan.
2. Hiris bawang merah dan goreng utk dibuat bawang goreng. Gunakan minyak gorengan bawang tadi untuk menggoreng daging yg telah dileperkan. Angkat dan toskan.
3. Tinggalkan minyak lebih kurang dalam 1/2 cawan. Tumis bahan kisar sampai pecah minyak. Kemudian, masukkan gula melaka, jus asam jawa, garam dan kicap. Kacau rata dan masak dengan api perlahan sampai pecah minyak.
4. Rasa dan tambah apa yg perlu. Masukkan daging, gaul rata dan tambah bawang goreng. Kacau rata dan matikan api. Hidangkan.

Selamat mencuba ye. Sampai jumpa lagi. Salam ceria untuk semua....